BANGI: Sempena 10 malam terakhir Ramadan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) Aman Palestin Bhd. (Aman Palestin) menyeru orang ramai untuk terus merebut ganjaran pahala bersedekah bagi membantu saudara kita yang memerlukan di Palestin, Syria dan Yaman.

Pengurus Besar Pemasaran Aman Palestin, Muhd Farhan Muhd Fadhil berkata, Ramadan yang mulia ini merupakan satu bulan kurniaan terbesar kepada seluruh umat Islam dalam menuai semua pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Menurut beliau, Aman Palestin tetap komited dan teguh dalam objektifnya membantu warga Palestin, Syria dan Yaman bagi memastikan Ramadan yang mereka tempuhi tahun ini sebagai bulan paling selesa dan menyenangkan untuk mereka beribadah.

“Kami membuat persiapan rapi dan telah menghantar misi bantuan ke Yaman pada minggu pertama Ramadan baru-baru ini, malah pasukan Aman Palestin juga sudah berada di Syria bagi misi menghantar bantuan di sana sejak 9 April lalu sehingga 19 April ini.

“Jadi ini antara projek-projek dilaksanakan bagi memastikan bantuan disalurkan benar-benar sampai kepada mereka disasarkan. Antara lain kita turut menghantar bantuan kepada umat Islam di Nigeria, Somalia dan juga Benin, Afrika Barat khas untuk Ramadan ini,” katanya.

Bersama menyumbang kepada warga Palestin, Syria dan Yaman

Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI ketika ditemui di Ibu Pejabat Aman Palestin di sini pada Rabu.

Menurut Muhd Farhan, kempen tahunan Ramadan Bersamamu dengan sasaran jumlah agihan sebanyak RM12 juta pada tahun ini bertujuan memenuhi keperluan sepanjang Ramadan umat Islam di tiga negara berkenaan. Ia dianggar memberi manfaat kepada seramai 138,000 orang.

“Alhamdulillah buat masa ini kami telah menghantar bantuan sebanyak RM5 juta, namun jumlah berkenaan masih jauh daripada sasaran asal iaitu RM12 juta. Saluran diberikan adalah dalam bentuk bantuan juadah berbuka puasa, pakaian raya dan bakul Ramadan.

“Kami turut menyumbang wang tunai kepada mereka yang memerlukan di sana, justeru itu Aman Palestin masih mengharapkan lagi bantuan yang banyak daripada orang ramai agar sasaran sumbangan RM12 juta ini dapat dicapai,” ujarnya.

Menerusi kempen ini, Aman Palestin turut membuka ruang kepada seluruh masyarakat untuk turut serta dalam projek Pembinaan Masjid Syeikh Khalil di Bar Elias, Beqaa, Lubnan. Masjid ini mampu memberi manfaat kepada 10,000 penduduk termasuklah 3,000 pelarian Syria di sekitar kawasan tersebut dan tempoh jangkaan masjid ini disiapkan adalah selama 18 bulan bermula Mac 2023.

Untuk maklumat lanjut atau sekiranya anda ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui maklumat tertera di bawah.

Sumbangan anda amat bermakna bagi saudara kita yang memerlukan di Palestin, Syria dan Yaman.