Mayat mendiang dua rakyat Malaysia yang terkorban dalam kejadian gempa bumi di Lombok Ahad lalu tiba di Kompleks Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada jam 5.19 petang.

Selain waris keluarga mangsa, turut hadir menyambut jasad mendiang ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Dua mangsa yang terkorban, Datin Tai Siew Kim dan Lim Sai Wah, dibawa pulang menggunakan pesawat Garuda Indonesia GA816 diiringi ahli keluarga.

Mereka adalah daripada kumpulan 28 pelancong Malaysia yang tiba di Lombok 14 Mac lepas, dengan 22 daripadanya beriadah di Air terjun Tiu Kelep Senaru, Lombok Utara pada hari kejadian.

Difahamkan kesemua mereka menyertai aktiviti perjumpaan semula bersama rakan dari Sekolah Menengah Jementah, Segamat, Johor.

Mendiang Datin Tai Siew Kim merupakan Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew Daily dan isteri kepada Ketua Pengarang China Press Datuk Teoh Yang Khoon.

Dalam percutian itu, mendiang turut membawa anak lelakinya berusia 20 tahun yang dilaporkan mengalami kecederaan serta menerima rawatan di sebuah hospital di pulau berkenaan.

Manakala, mendiang Lim Sai Wah pula ke tempat peranginan itu ditemani suaminya Tan Ching Chuan, 62, yang mengalami cedera ringan.

Difahamkan mendiang Datin Tai Siew Kim akan dibawa ke Pusat Peringatan Nirvana di ibu negara untuk upacara keagamaan sebelum proses pembakaran mayat pada Sabtu ini jam 10 pagi.

Mendiang Lim Sai Wah pula akan dibawa ke rumah kediamannya di Jemntah bagi proses pengkebumian.

Turut hadir di Kompleks Kargo tersebut, keluarga mangsa serta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang memberi penghormatan kepada mayat mendiang.