Skip to main content

Malaysia

Jati diri asas pembentukan insan berkualiti, pemimpin berwibawa - Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis -- Kredit gambar YTSP
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, jati diri merujuk kepada sifat dan ciri unik yang menjadi teras keperibadian serta lambang identiti seseorang individu dan sesebuah bangsa. - Gambar/ YTSP
Advertisement

TELUK BAHANG: Jati diri merupakan asas penting dalam pembentukan insan berkualiti serta pemimpin yang berwibawa, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah, jati diri merujuk kepada sifat dan ciri unik yang menjadi teras keperibadian serta lambang identiti seseorang individu dan sesebuah bangsa.

Menurut baginda, jati diri bukan sahaja membentuk peribadi seseorang, malah menentukan prinsip yang dipegang serta menjadi panduan dalam membuat keputusan, khususnya ketika berdepan cabaran dan pengaruh yang boleh menggugat pegangan hidup.

“Ilmu yang tinggi tanpa jati diri yang kukuh boleh menyebabkan seseorang mudah dipengaruhi oleh persekitaran, manakala kecemerlangan tanpa nilai dan integriti pula boleh menyebabkan sesuatu kejayaan kehilangan maknanya,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Perasmian Penutupan Bengkel Ke Arah Pembinaan Jati Diri Yang Cemerlang (Towards Excellence Self-Esteem Development) bagi Pelajar Terbaik/Cemerlang dan Pengawas Terpilih Sekolah Menengah Negeri Perlis 2026 di Hotel Bahang Bay, Teluk Bahang, di sini semalam.

Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri kedua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Bengkel selama tiga hari dua malam anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) serta rakan strategik lain itu disertai 100 pelajar terbaik dan cemerlang dari seluruh sekolah menengah di Perlis, bersama empat guru pengiring.

Penganjuran bengkel itu mencerminkan komitmen berterusan YTSP Perlis dan rakan strategik dalam membentuk generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai jati diri, nilai murni, keyakinan diri serta kepimpinan yang kukuh.

Dalam majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin berkenan mengurniakan Anugerah Pelajar Cemerlang Bengkel YTSP kepada dua penerima sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian dan penglibatan cemerlang mereka sepanjang program berkenaan.

Baginda turut berkenan mengurniakan Sijil Penyertaan kepada 41 pelajar terbaik dan cemerlang, manakala Tuanku Lailatul Shahreen berkenan mengurniakan sijil sama kepada 59 Pengawas Terpilih.

Program itu dilihat sebagai platform penting untuk mempersiapkan golongan pelajar menghadapi cabaran masa hadapan, selain memupuk keyakinan diri dan kemahiran kepimpinan sejak di bangku sekolah.

Pada akhir majlis, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyampaikan surat pelantikan kepada dua Ahli Lembaga YTSP Perlis yang baharu, iaitu Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Ishak Awang dan tokoh korporat serta usahawan veteran terkemuka, khususnya di Pulau Pinang, Datuk Seri Syed Mohamad Syed Murtaza.

Must Watch Video

Advertisement