KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah diarah mengetuai satu jawatankuasa khas bagi menyelaraskan usaha kutipan dana percetakan dan pengedaran sejuta Al-Quran ke seluruh dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar arahan itu dikeluarkan pihaknya selepas mesyuarat Kabinet minggu lepas.

Beliau berkata usaha itu memerlukan penyelarasan, bagi memenuhi hasrat yang dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencetak sejuta naskah Al-Quran untuk diedarkan ke seluruh dunia.

"Setakat ini, kita tidak letakkan sasaran bagi jangkaan tarikh edarannya. Saya akan tunggu untuk jawatankuasa itu bersidang terlebih dahulu dan mereka akan kemas kini kepada saya, kerana kita perlu lihat usaha ini secara menyeluruh dalam pelbagai aspek sebelum kita tetapkan sasaran," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pelan Pembangunan Komuniti Setempat Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Masjid Jamek Kampung Bharu, di sini hari ini.

Pada 28 Jan lepas, Perdana Menteri berkata Malaysia akan mencetak dan mengedarkan satu juta naskah Al-Quran ke seluruh dunia sebagai tindak balas terhadap pembakaran kitab suci umat Islam itu di Sweden.

Sementara itu, mengulas nasihat Mufti Wilayah Persekutuan kepada masyarakat Islam mengenai sambutan Thaipusam, Mohd Na'im berkata ia bertujuan supaya umat Islam tidak terlibat dengam apa-apa ritual agama dalam perayaan berkenaan.

"Itu tidak bermakna umat Islam tidak boleh bersama-sama dengan orang bukan Islam. Bahkan, semangat kesatuan, perpaduan, itu kita galakkan. Jadi dalam konteks ini dan atas nasihat Mufti Wilayah Persekutuan, had di situ adalah orang Islam tidak dibenarkan untuk melibatkan diri dalam upacara agama itu," katanya.

Mengenai Pelan Pembangunan Komuniti Setempat YaPEIM itu, Mohd Na'im berkata objektif pelaksanaannya adalah bagi meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat, meningkatkan pendapatan dan kelestarian kehidupan.

Katanya pemilihan Kampung Bharu khususnya Masjid Jamek Kampung Bharu sebagai projek rintis plan itu dilihat signifikan dalam membangunkan usahawan asnaf serta usahawan lain di ibu negara menerusi pelbagai inisiatif bagi pembangunan komuniti, sekali gus memanfaatkan prasarana komuniti setempat.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus, Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Pengerusi Masjid Jamek Kampung Bharu Datuk Mohd Khay Ibrahim.

-- BERNAMA