NATIONAL
Jejak Al-Haramain: Che Lah sempat bergambar sebagai kenangan

Asri menunjukkan gambar Allahyarham Che Lah bersama rakan-rakan yang diambil sebelum dia meninggal dunia. - Gambar/ Astro AWANI
MEKAH: Permintaan terakhir Allahyarham Abdullah Mat atau Che Lah, bergambar beramai-ramai sebagai kenangan.
Rakan sebilik, Asri Muhammad, 52, berkata itu permintaan dibuat sebelum memasuki Masjidil Haram, untuk melakukan tawaf di tingkat satu.
“Arwah meminta kami seramai empat orang mengambil gambar sebagai kenangan. Dan itulah kenangan terakhir kami semua, umpama keluarga sendiri,” katanya.
Katanya, Allahyarham suka bergambar sejak di Madinah lagi dan sering menggunakan alasan sebagai kenangan peribadi.
Rakan-rakan menunjukkan gambar Allahyarham Che Lah yang diambil sebelum dia meninggal dunia. - Gambar/ Astro AWANI
Selain itu, Allahyarham suka bersedekah dan sering lambat masuk ke masjid kerana mencari orang untuk bersedekah.
“Memang kami mengenali masing-masing sejak di Madinah sahaja, tetapi sepanjang perkenalan, arwah suka bersedekah, kadang-kadang dia lah paling lambat kerana suka sangat bersedekah walaupun pada orang yang tak kenal,” katanya.
Menceritakan saat sebelum mengembuskan nafas terakhir, katanya semuanya bersetuju melakukan tawaf sunat bersama pada jam 2.30 pagi pada Isnin (waktu tempatan).
“Tiada perubahan dan semuanya berjalan seperti biasa. Tetapi ketika melakukan tawaf pada pusingan kelima, tiba-tiba Che Mat makin perlahan. Dia rebah.
“Saya di belakangnya sempat menyambut badannya daripada jatuh terus ke lantai. Saya meminta bantuan dan pengawal keselamatan di situ membantu.
“Ada seorang pegawai perubatan datang dan ketika itu nafas Che Mat semakin perlahan. Saya sempat membantunya mengucapkan kalimah Tauhid,” katanya.
Allahyarham Abdullah, dibawa ke Hospital Jiwar, Jabal Omar dan disahkan meninggal dunia.
Walaupun perkenalan singkat, Asri membantu segala urusan dari saat kematian, hospital sehingga pengebumian.
Bagi beliau, inilah kematian yang sangat dicemburi orang Islam yang lain.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar, berkata Abdullah Mat, dari Pasir Mas, Kelantan, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.
Ini adalah kejadian kedua kematian jemaah haji Malaysia di Tanah Suci selepas Allahyarham Norizah Tambonan, 47, yang dilaporkan meninggal dunia pada Jumaat lalu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami