KLANG: Syarikat perladangan tenusu bersepadu tempatan, Farm Fresh Bhd meneruskan siri Jelajah Generasi Farm Fresh bagi menyebarkan kepentingan kesihatan secara menyeluruh serta berkongsi kebaikan susu segar kepada tubuh badan. 

Ketua Pengarah Operasi Farm Fresh, Azmi Zainal berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan kolaborasi majalah Kuntum dan Tetra Pak itu bukan sahaja memperlihatkan usaha syarikat sebagai pembekal susu di sekolah, malah menjadi agen dalam mendidik murid akan kebaikan susu.

"Kita hendak ajar kanak-kanak ini tentang khasiat (susu) yang boleh mereka dapat, bukan setakat menjadi pembekal susu, kita hendak juga ada ramah mesra dengan mereka untuk menggalakkan minum susu.

"Hal ini demikian kerana sekarang masalah bantut yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak seperti yang diperkatakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, mungkin salah satu penyebabnya adalah kerana kekurangan kalsium," katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran program Jelajah Generasi Farm Fresh di Sekolah Kebangsaan (SK) Sementa, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kelestarian Tetra Pak (ASEAN), Terrynz Tan; Penolong Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hal Ehwal Murid Sektor Pembangunan Murid PPD Klang, Ramlah Sulaiman; Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Roslina Abdul Aziz dan Guru Besar SK Sementa, Hasbullah Ibrahim. 

Dalam pada itu, tambah Azmi, pihaknya turut mengeluarkan susu keluaran baharu versi adiwira untuk menarik minat mereka minum susu.

"Jadi, Farm Fresh mengeluarkan produk yang bagus, bagaimanapun adakalanya kanak-kanak ini tidak mahu minum susu.

"Hari ini kita tampilkan susu keluaran baharu versi adiwira daripada Warner Bros seperti Superman, Flash, Wonder Women, Batman dan Aquaman untuk galakkan mereka suka susu untuk lebih sihat," ujarnya.

 Jelajah Generasi Farm Fresh kali ini akan melibatkan negeri Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Kedah. - Foto Farm Fresh

Di samping itu, jelas Azmi, program berkenaan akan diperluas ke sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara.

"Kita sudah memilih 20 buah sekolah untuk lakukan program sebegini termasuk nanti di Kedah, kita akan mengadakan Hari Susu Sedunia peringkat kebangsaan. 

"Kali ini Jelajah Generasi Farm Fresh bersama Tetra Pak, kita ajar mereka untuk kitar semula dan majalah Kuntum beri majalah pendidikan dan banyak lagi ramah mesra kita hendak buat di sekolah.

"Di Farm Fresh fokus CSR kita ialah pendidikan kerana generasi inilah yang akan menentukan generasi masa depan negara masa datang," ujarnya.

Sementara itu, pihak majalah Kuntum turut mengagihkan sejumlah 500 majalah kepada pihak sekolah.

Untuk makluman, Jelajah Generasi Farm Fresh kali ini akan melibatkan negeri Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Kedah.

*Artikel ini adalah kandungan berbayar.