Jemaah haji Malaysia kini berada di Mina untuk melaksanakan ibadah melontar jamrah, kata Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman.

Beliau berkata semua jemaah haji Malaysia telah selesai menjalani ibadah wukuf di Arafah dan mula digerakkan untuk bermabit (bermalam) di Muzdalifah pada pukul 6 petang semalam.

"Pada pukul 10.05 malam semua jemaah sudah berada di Muzdalifah dan pada pukul 11.50 malam yang diambil kira sebagai setengah malam, jemaah mula bergerak ke Mina.

"Jemaah haji Malaysia akan mula dibawa melontar mengikut jadual ditetapkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, selepas waktu Asar (3.47 petang waktu tempatan, 8.47 malam waktu Malaysia) hari ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ibadah Masyair bermula dengan wukuf di Arafah, berada seketika pada tengah malam di Muzdalifah, bermalam di Mina dan melontar di tiga Jamrah pada hari Tasyrik iaitu 11 hingga 13 Zulhijjah.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia mengerjakan Rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.

Syed Saleh berkata jarak daripada khemah jemaah Malaysia di Mina ke tiga Jamrah itu Sugra, Wusta dan Kubra adalah kira-kira 7.5 kilometer, sehubungan itu, penting untuk TH meletak petugas di pos menunggu untuk memandu arah jemaah haji itu.

Beliau berkata dua ambulans diletakkan dalam perjalanan menuju ke jamrat itu dan satu lagi dalam perjalanan balik ke khemah bagi membantu memberi rawatan kepada jemaah yang memerlukan.

"Anggota petugas Tabung Haji dan perubatan sentiasa sedia memberi perkhidmatan terbaik kepada jemaah dan komitmen luar biasa bagi membantu jemaah telah ditunjukkan oleh petugas," katanya.

-- BERNAMA