KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengecualikan bayaran bagi jemaah haji Malaysia yang melakukan ujian pengesanan COVID-19 Ujian Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) di fasiliti kementerian itu.

Perkara itu dimaklumkan Menterinya, Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Bagaimanapun ujarnya, jemaah haji yang memilih untuk menjalani ujian RT-PCR di fasiliti kesihatan swasta masih perlu menanggung kos ujian tersebut.

"Oleh yang demikian, KKM telah bersetuju agar ujian pengesanan COVID-19 bagi jemaah haji Malaysia yang dilakukan di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dikecualikan daripada bayaran dan dilaksanakan secara percuma.

"Bagi jemaah haji yang memilih untuk menjalani ujian pengesanan COVID-19 di fasiliti kesihatan swasta, kos ujian tersebut perlu ditanggung sepenuhnya oleh jemaah tersebut mengikut caj yang dikenakan oleh fasiliti kesihatan swasta yang dipilih," katanya.

Jemaah haji boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Pejabat Tabung Haji Daerah untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan senarai fasiliti kesihatan KKM yang menyediakan perkhidmatan ujian RT-PCR.

Terdahulu, Kerajaan Arab Saudi antara lain telah menetapkan prosedur pencegahan dan pengawalan penyakit bahawa setiap jemaah haji Malaysia perlu disahkan negatif COVID-19 dalam menerusi ujian RT-PCR dalam tempoh 72 jam sebelum tiba di Tanah Suci.

Bagi musim haji tahun ini, sebanyak 14,306 jemaah haji Malaysia bakal menunaikan Rukun Islam kelima itu bermula hari ini menerusi penerbangan yang ditetapkan Tabung Haji.