"Pertambahan kes positif ini mungkin merupakan permulaan gelombang kedua COVID-19 di negeri ini."

Demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menerusi sidang media harian COVID-19 JPBN Sarawak pada Jumaat susulan peningkatan kes positif COVID-19 di negeri itu.

Sarawak hari ini mencatatkan 10 kes positif COVID-19 terbaharu membabitkan enam kes di Kuching, dua di Samarahan dan Bintulu.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak setakat hari ini sebanyak 594 kes.

Kes terbaharu ini menyaksikan daerah Kuching dan Samarahan kembali dikategorikan sebagai zon kuning manakala Bintulu masih kekal dengan status zon hijau.

Hal ini kerana dua kes terbaharu dicatatkan di Bintulu ini melibatkan bukan warganegara dan merupakan kontak rapat kepada kes positif yang telah dikesan pada 13 Julai 2020 di atas kapal LNG Jupiter.

Jelas Uggah, kedua-dua kes ini telah disaring pada 16 Julai 2020 dan ujian rT-PCR mereka didapati positif COVID-19 pada hari sama.

“Kedua-dua kes juga tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala dan kes akan dibawa turun dari kapal dan akan dimasukkan ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut,” katanya.

Selain itu, empat kes positif melibatkan warga tempatan yang pulang dari luar negara dan sedang menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari.

Dua kes masing-masing berasal dari Kuching dan Samarahan juga tidak menunjukkan sebarang simptom ini dikategorikan sebagai kes import yang melibatkan warga tempatan.


Satu kes lagi melibatkan seorang warga emas dari Kuching yang sebelum ini disahkan positif Severe Acute Respiratory Infection (SARI) dan menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 9 Julai 2020.

“Kes juga menghidap penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi dan ujian ulangan untuk swab rT-PCR pada 16 Julai 2020 mendapati kes positif COVID-19. Kes adalah jangkitan tempatan kerana kes tidak mempunyai sejarah perjalanan melawat ke luar negara,” tambah Uggah.

Tiga lagi kes melibatkan seorang petugas kesihatan yang juga merupakan kontak tempat kerja kepada kes ke-582, dikesan pada 15 Julai 2020 hasil saringan COVID-19.

Manakala dua kes lagi merupakan kes positif saringan kendiri dan mereka tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala.

Jsuteru tambah Uggah, punca jangkitan untuk kes ini masih dalam siasatan lanjut.