KUALA LUMPUR : Polis telah menahan lima individu yang terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita bagi membantu siasatan kes membabitkan kumpulan jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Ashari Abu Samah dalam kenyataan berkata, semua mereka berusia dalam lingkungan umur 28 hingga 50 tahun.

"Setakat ini sebanyak 18 laporan polis telah diterima Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju," katanya.

Terdahulu, Bukit Aman mendedahkan, secara keseluruhan PDRM menerima sebanyak 57 laporan polis berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji terhadap sebuah agensi pelancongan swasta melibatkan kerugian lebih RM2.37 juta.

Jemaah Terkandas | Idris kecewa, gesa hukuman setimpal kepada pelaku

Mengulas lanjut, Ashari berkata, berdasarkan salah satu laporan, mangsa mendakwa agensi pelancongan yang bertanggungjawab mengatur perjalanan mereka ke Jeddah, Arab Saudi, sering menunda tarikh penerbangan dari tarikh asal yang ditetapkan.

"Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Wangsa Maju telah menerima laporan polis oleh seorang mangsa telah ditipu dalam urusan mengerjakan haji di kawasan Setapak.

"Satu kertas siasatan telah dibuka yang disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Siasatan awal mendapati pengadu telah berurusan dengan suspek dari satu agensi pelancongan di Taman Danau Kota, Setapak dan telah membuat pembayaran sebanyak RM 35,000 ke akaun bank atas nama agensi pelancongan tersebut.

"Setelah bayaran dibuat, syarikat agensi pelancongan tersebut sering menunda tarikh penerbangan dari tarikh asal yang ditetapkan," katanya.

Ashari berkata, mangsa turut memaklumkan bahawa setibanya dia di KLIA Khamis lalu, dia tidak menerima sebarang makluman atau alasan daripada pihak agensi pelancongan tersebut.

"Tiada juga sebarang wakil daripada pihak agensi tersebut tampil bagi menjelaskan berkaitan permasalahan yang dialami oleh mangsa-mangsa terlibat.

"(Daripada semua laporan yang diterima) jumlah kerugian setakat ini adalah sebanyak RM683,500," tambahnya.

Dalam pada itu, Ashari menyeru agar mana-mana individu yang turut menjadi mangsa kejadian tampil membuat laporan polis di balai polis yang berdekatan.

Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan, lebih kurang 400 jemaah haji terkandas di KLIA Khamis malam lalu, ekoran tidak dapat berlepas ke Jeddah, Arab Saudi.

Mereka dipercayai berdaftar dengan sebuah syarikat agensi pelancongan swasta bagi visa furada untuk menunaikan haji.

Bagaimanapun, niat mereka itu musnah setelah tidak dapat terbang ke destinasi kerana dipercayai telah ditipu agensi pelancongan.