PUTRAJAYA: Jemaah Menteri meluluskan 17 syor penambahbaikan bagi memperkukuh kawalan keselamatan, saringan serta pengurusan risiko di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan pintu masuk antarabangsa negara.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan bersama memaklumkan, enam tindakan segera atau quick wins akan diberi keutamaan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan jangka pendek.
Antaranya ialah meningkatkan saringan bersasar berasaskan risiko terhadap penerbangan, penumpang, kru dan bagasi yang dikenal pasti berisiko.
Prosedur e-Vetting dan tapisan keselamatan turut akan diperkukuh terhadap kru penerbangan, kakitangan syarikat penerbangan, petugas pengendalian darat, pekerja lapangan terbang, vendor serta kontraktor yang memerlukan akses ke kawasan keselamatan terhad.
Saringan dadah pra-pengambilan, berkala dan secara rawak terhadap juruterbang, kru kabin serta kakitangan berkaitan juga akan dipertingkatkan.
Selain itu, kehadiran anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lokasi strategik akan ditambah sebagai langkah pencegahan.
Langkah itu akan disokong melalui penambahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi setiap syif penugasan di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA.
Perkongsian maklumat keselamatan dan risikan melalui Pusat Kawalan Imigresen Nasional (NICC) turut akan diperkukuh.
Sebuah Jawatankuasa Teknikal KDN-MOT yang dipengerusikan bersama oleh ketua setiausaha kedua-dua kementerian akan ditubuhkan dengan segera.
Jawatankuasa itu bertanggungjawab menyelaras tindakan, menyelesaikan isu rentas agensi dan memantau pelaksanaan keseluruhan pelan.
Menurut kenyataan itu, pelaksanaan semua 17 syor turut meliputi tindakan jangka sederhana dan panjang.
Fasa jangka sederhana akan memberikan tumpuan kepada pembangunan teknologi, aset dan sumber manusia, manakala fasa jangka panjang melibatkan transformasi sistem, perkongsian maklumat serta tadbir urus.
Pelan tindakan berkenaan dirangka susulan beberapa insiden yang menimbulkan kebimbangan terhadap integriti kawalan keselamatan negara.
Ia termasuk penahanan seorang rakyat Malaysia di Indonesia kerana disyaki terbabit dalam penyeludupan dadah, selain beberapa insiden keselamatan berprofil tinggi.
KLIA akan menjadi lokasi perintis pelaksanaan pelan itu sebelum diperluas secara berperingkat ke pintu masuk antarabangsa lain berdasarkan tahap ancaman, keperluan operasi dan kesesuaian setiap lokasi.
KDN dan MOT menegaskan, setiap syor akan dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan berlandaskan undang-undang, dengan mengambil kira hak individu, perlindungan data serta kepentingan penumpang dan industri penerbangan.