Ringkasan AI
- Ulat-ulat ialah kuih tradisional masyarakat Kedayan di Lawas, diwarisi turun-temurun dan mencerminkan identiti serta warisan kulinari komuniti tersebut.
- Kuih ini diperbuat daripada tepung beras, santan, daun pandan, gula dan garam, dengan tekstur pekat berbutir serta rasa lemak manis dan sedikit masin.
- Ulat-ulat melambangkan kreativiti masyarakat Kedayan dalam mempelbagaikan hidangan berasaskan beras dan mengekalkan nilai sentimental serta kebersamaan keluarga.
LAWAS: Ulat-ulat, mungkin kedengaran asing dan sedikit menggerunkan bagi sesetengah pihak, khususnya mereka yang kurang mengenali budaya masyarakat Kedayan di Lawas.
Namun, di sebalik sebutannya yang unik, ulat-ulat sebenarnya merupakan kuih tradisional masyarakat Kedayan yang diwarisi sejak turun-temurun.
Lebih daripada sekadar hidangan, kuih berkenaan turut mencerminkan identiti dan warisan kulinari masyarakat Kedayan yang terus dipelihara hingga ke hari ini.
Setiausaha Persatuan Kedayan Lawas, Suriah Jinin berkata, ulat-ulat bukanlah sejenis haiwan seperti yang dibayangkan, sebaliknya kuih yang dihasilkan daripada gabungan bahan asas seperti tepung beras, santan, daun pandan, gula dan sedikit garam.
“Kalau bahasa Melayu, ulat-ulat bermaksud haiwan gatal, tetapi kalau Kedayan, ulat-ulat ialah kuih.
“Cara penyediaannya mudah sahaja. Kita campurkan santan bersama gula, kemudian masukkan tepung beras dan gaul sehingga sebati,” katanya kepada TVS.
Adunan itu kemudiannya dimasak di atas kuali menggunakan api sederhana sambil dikacau berterusan sehingga mencapai tahap kepekatan yang diinginkan.
Proses tersebut menghasilkan kuih ulat-ulat berwarna putih dengan tekstur pekat dan sedikit berbutir, sekali gus memberikan keunikan tersendiri kepada sajian tradisional masyarakat Kedayan itu.
Dari segi rasa, ulat-ulat menawarkan kombinasi lemak manis daripada santan dan gula dengan sedikit sentuhan masin yang melengkapkan rasanya, seakan-akan kuih bingka beras.
Menurutnya, ulat-ulat merupakan antara hasil kreativiti masyarakat terdahulu dalam mempelbagai hidangan berasaskan tepung beras.
Jika ditelusuri sejarah masyarakat ini yang terkenal dengan kegiatan bersawah, penggunaan beras sebagai bahan asas dalam penyediaan makanan menjadi sebahagian daripada kehidupan komuniti itu.
“Itulah kehebatan orang-orang tua kita dahulu, mungkin zaman sekarang kita tak terfikir untuk menghasilkan resipi semudah itu,” katanya.
Ulat-ulat mempunyai nilai sentimental tersendiri dalam kalangan masyarakat Kedayan keranamengingatkan mereka kepada zaman kanak-kanak dan suasana kehidupan bersama keluarga suatu ketika dahulu.
Daripada bahan penyediaan yang ringkas hingga kepada proses pembuatannya, ulat-ulat mencerminkan kehidupan masyarakat Kedayan yang dekat dengan kesederhanaan.
Tradisi ini juga memperlihat nilai warisan dan kebersamaan yang terus dipertahan hingga kini. - TVS