LANGKAWI: Jumlah kes jenayah komersial di negeri ini mencatatkan peningkatan, terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kadar kes tersebut meningkat, termasuk jenayah penipuan, yang mencatatkan 1,881 kes pada 2021, berbanding 1,125 pada 2020.

Daripada keseluruhan kes pada 2021, 90 peratus merupakan kes penipuan yang merangkumi jenayah seperti Macau Scam (397 kes), Love Scam (98 kes), pinjaman wang tidak wujud (297 kes), pelaburan tidak wujud (214 kes) dan tipu belian dalam talian (593 kes).

Katanya, banyak kejadian berlaku ketika PKP apabila kebanyakan ahli keluarga berada di rumah.

Sindiket penipuan ini juga, menurut Kamarul Zaman, merangka serta mempelbagaikan taktik bagi mendapatkan wang daripada mangsa.

Tambahnya, jumlah kerugian disebabkan jenayah kes komersial meningkat sebanyak RM11,079,937.52 kepada RM28,899,760.03 pada 2021, berbanding RM17,819,822.51 pada 2020.

"Ia menunjukkan kerugian sebanyak RM28 juta pada 2021 berbanding RM17 juta pada 2020.

"Peningkatan kes penipuan adalah perubahan trend jenayah daripada jenayah bersemuka, kepada secara maya, disebabkan oleh PKP.

"Bagi pertuduhan jenayah komersial pada tahun ini, sebanyak 657 kes telah didakwa di mahkamah, iaitu hampir 34.92 peratus," katanya pada satu sidang media khas di sini, hari ini.

Selain itu, kata Kamarul Zaman, kadar jenayah kekerasan juga meningkat sebanyak 10.95 peratus, jenayah harta benda meningkat 11.14 peratus dan jenayah narkotik meningkat 28.5 peratus.

Kemalangan jalan raya pula menunjukkan penurunan enam peratus apabila mencatatkan 18,327 kes pada 2021 berbanding 19,490 kes pada 2020.

Sementara itu, tambahnya, pihaknya juga berjaya mengutip RM10.9 juta daripada jumlah saman yang dikeluarkan sempena tawaran pengurangan kadar kompaun saman trafik sehingga 80 peratus bermula 9 hingga 29 Dis lalu.

Bagaimanapun, indeks jenayah di negeri ini bagaimanapun menunjukkan penurunan 7.5 peratus kepada 3,822 kes pada 2021 berbanding 4,133 kes pada 2020.