Skip to main content

Malaysia

Jenazah bekas penyampai radio Mariamah Tijo selamat dikebumikan

SUBANG JAYA, 23 April -- Ahli keluarga terdekat yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada bekas penyampai radio terkenal di Radio Televisyen Malaysia (RTM), Mariamah Tijo yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ahli keluarga terdekat yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada bekas penyampai radio terkenal RTM, Mariamah Tijo yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 hari ini. - Foto Bernama

SUBANG JAYA: Jenazah bekas penyampai radio terkenal di Radio Televisyen Malaysia (RTM), Mariamah Tijo selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, di sini, hari ini.

Van yang membawa jenazah tiba di pekarangan tanah perkuburan pada 12.30 tengah hari, dengan pengebumian itu dihadiri ahli keluarga Allahyarham serta rakan-rakan daripada bidang penyiaran dan seni.

Advertisement

Terdahulu, jenazah tiba di Masjid Darul Ehsan SS15 di sini, dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada kira-kira 10.15 pagi untuk dimandikan dan disolatkan.

Bekas Pengurus Radio Klasik Nasional Datuk Chuari Selamat yang mengenali Allahyarham sejak 1973 ketika mula bertugas di RTM, ketika ditemui menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang sangat kreatif serta mahir menulis skrip drama dan puisi.

Beliau turut mengimbau kenangan manis bersama Allahyarham mengikuti rombongan untuk program berbalas pantun 'Salam Muhibah' di Jakarta, Indonesia pada awal 1980-an.

"Kami yang mula-mula sekali mempelopori program Salam Muhibah berbalas pantun itu antara RTM Kuala Lumpur dengan stesen radio Indonesia di Jakarta," katanya.

Sementara itu, pengarah filem Aziz M. Osman yang mengenali Allahyarham sejak pertengahan 1970-an menyatakan hubungan mereka sangat akrab sehinggakan beliau menganggap Allahyarham seperti ibu sendiri.

“Saya juga sangat rapat dengan anak-anak beliau. Saya sempat berjumpa beliau beberapa bulan lepas ketika beliau terlantar sakit,” katanya.

Anggota kumpulan Ruffedge, Azan Addin pula mengingati personaliti Allahyarham sebagai seorang yang peramah, gemar berpuisi, bersketsa dan menyanyi.

Mariamah, 76, menghembuskan nafas ketika berada di sisi keluarga di PPUM pada kira-kira 5 pagi tadi, selepas dimasukkan ke hospital berkenaan pada malam Selasa lepas.

Allahyarham yang terlantar sejak empat tahun lepas selepas diserang stroke, pernah menerima sumbangan menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA pada 20 Mac 2024.

Allahyarham Mariamah memulakan kerjaya dalam dunia radio pada 1972 dan mencipta populariti hingga digelar antara suara emas RTM.

– BERNAMA

Must Watch Video