Skip to main content

Malaysia

Jenazah Cik Man akan dikebumikan esok

Cik Man,Kebumi
Jenazah Cik Man, akan dikebumikan di Kampung Gual, Tanah Merah, Kelantan esok. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jenazah pelakon veteran, Kamarool Yusoff, 68, atau lebih dikenali sebagai Cik Man, akan dikebumikan di Tanah perkuburan Islam Kampung Gual, Petai Lima, Kelantan esok.

Rakan artis, Amir Raja Lawak memaklumkan, jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan kira-kira jam 11 pagi.

“Insyallah, saya dimaklumkan oleh anaknya bahawa jenazah akan dikebumikan esok pagi. Sama-sama kita doakan agar segala urusan dipermudahkan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Amir berada di Hospital Tanah Merah, Kelantan dan turut mengiringi jenazah Allahyarham pulang ke kampung halaman di Kampung Kuala Paku kira-kira jam 8.15 malam.

Image
Sedih,Kehilangan bintang
Rakan artis Amir Raja Lawak (Kiri) dan Penyampai Radio Fizie Roslan turut berkongsi rasa sedih atas kehilangan pelakon vateran berbakat besar itu.

Penyampai radio, Fizie Roslan turut meluahkan rasa sedih atas pemergian pelakon veteran itu yang disifatkannya sebagai seorang insan yang sangat berharga dalam hidupnya.

“Bagi saya, beliau adalah abah. Panggilan keramat itu mencerminkan betapa dekatnya hubungan kami.

“Saya bersyukur kerana berpeluang bekerja rapat dengan Abah. Kami bersama-sama pergi persembahan dan mengembara. Setiap kenangan itu penuh dengan momen indah dan lucu bersamanya,” katanya menerusi hantaran di laman Instagramnya.

Fizie berkata, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar yang dirasai bukan sahaja oleh insan terdekat, malah seluruh warga industri seni tanah air.

“Walau apa pun, karya-karya abah akan dikenang sampai bila-bila,” katanya.

Allahyarham Kamarool Yusoff dilaporkan meninggal dunia selepas ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tanah Merah, Kelantan petang tadi akibat komplikasi jantung.

Sebelum ini, Allahyarham dilaporkan mengalami masalah saluran jantung tersumbat.

Allahyarham mula dikenali menerusi watak Farouk dalam filem Gila-Gila Remaja sebelum mengukuhkan nama dalam industri seni menerusi pelbagai karya perfileman dan drama tempatan.

Allahyarham disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5.30 petang di Hospital Tanah Merah, Kelantan akibat komplikasi jantung.

Sepanjang penglibatan lebih 40 tahun dalam bidang seni, Allahyarham mencipta nama menerusi pelbagai watak yang dekat dengan penonton dan sering mendapat pujian kerana kebolehan menghidupkan setiap karakter yang dibawakan.

Antara karya yang melonjakkan nama Allahyarham termasuk filem Gila-Gila Remaja (1986) menerusi watak Farouk, selain penampilan dalam filem seperti Rozana Cinta 87, Rock, Rock Oo!, Rock Bro!, Tiada Tajuk dan Mael Totey The Movie.

Watak Cik Man dalam trilogi filem Rock arahan Allahyarham Mamat Khalid turut dianggap antara karakter paling diingati dalam sejarah perfileman tempatan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Allahyarham sebagai pelakon yang mempunyai keistimewaan tersendiri.

Selain filem, Allahyarham turut aktif dalam drama televisyen termasuk menerusi siri Banyak Chanteq, yang memperlihatkan versatiliti beliau dalam dunia lakonan.

 

Must Watch Video

Advertisement