Skip to main content

Malaysia

Jenazah Irene Sofiya selamat dikebumikan

Jenazah pelajar perempuan Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal yang maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah di Yong Peng, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Arshad kira-kira jam 7.50 malam pada Ahad. - Foto Sinar Harian
Jenazah pelajar perempuan Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal yang maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah di Yong Peng, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Arshad kira-kira jam 7.50 malam pada Ahad. - Foto Sinar Harian

Advertisement

BATU PAHAT: Jenazah pelajar perempuan Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal yang maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah di Yong Peng, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Arshad di sini kira-kira jam 7.50 malam pada Ahad.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham tiba di rumah neneknya di Kampung Parit Selamat, Yong Peng, kira-kira jam 6.35 petang.

Lebih 100 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara, jiran, penduduk kampung serta rakan mangsa hadir di perkarangan rumah berkenaan bagi memberi penghormatan terakhir.

Solat jenazah turut diadakan sebelum jenazah dibawa ke tanah perkuburan untuk disemadikan.

Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, ditemukan tidak bernyawa di kawasan dewan sebuah sekolah di Yong Peng kira-kira jam 5.30 petang, Sabtu.

Mangsa dipercayai hadir ke sekolah untuk mengikuti kelas tambahan sebelum ditemukan dalam keadaan berlumuran darah oleh neneknya, Jameyah Rabani, 66, bersama rakan mangsa selepas menyedari Irene tidak pulang ke rumah.

Polis menahan tiga pelajar lelaki berusia 16 tahun dari sekolah sama beberapa jam selepas kejadian bagi membantu siasatan. Seorang daripada mereka kemudian direman selama enam hari bermula pada Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Irene Sofiya dikenali sebagai pelajar cemerlang dan aktif dalam aktiviti sekolah selain menjadi antara calon yang diharapkan memperoleh keputusan 9A dalam SPM tahun depan.

Allahyarham juga menyimpan cita-cita untuk menjadi doktor pakar kesihatan awam, mengikut jejak langkah arwah ibunya.
 

-- Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement