Jenazah Koperal Safwan Muhammad Ismail selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata, Tanjung Rambutan, dekat sini, awal pagi Isnin.

Kenderaan yang membawa jenazah tiba dari Hospital Serdang, Selangor kira-kira jam 5.20 pagi.

Turut mengiringi jenazah ialah Exco Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan apabila ahli keluarga terdekat dibenarkan menatap wajah Allahyarham buat kali terakhir.

Kira-kira 300 orang terdiri daripada ahli keluarga, pegawai dan anggota polis serta tentera dan penduduk setempat berada di tanah perkuburan untuk memberi penghormatan terakhir.

Safwan, 31, anak kedua daripada sembilan beradik dilanggar seorang pemandu yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol ketika sekatan jalan raya diadakan berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) kira-kira jam 2 pagi Ahad.

BACA: Anggota polis maut dilanggar pemandu mabuk dalam sekatan jalan raya di Kajang

Urusan bedah siasat yang mulanya dijadualkan pada pagi Ahad terpaksa ditunda bagi memberi laluan kepada ujian saringan COVID-19.

Menurut bapa Allahyarham, Muhammad Ismail Othman, keputusan ujian saringan itu menunjukkan Allahyarham negatif COVID-19.


BACA: Keluarga redha pemergian Allahyarham Safwan

Selesai proses bedah siasat, jenazah kemudiannya dimandi dan dikafankan seterusnya disembahyangkan di Hospital Serdang.


Urusan pengebumian selesai kira-kira jam 6.30 pagi.