ALOR SETAR: Jenazah jurulatih legenda, Mohd Azraai Khor Abdullah, 72, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Uda, di sini kira-kira jam 6.25 petang Khamis.

Jenazah sebelum itu dibawa dari rumahnya di Kampung Alor Semadom dekat sini ke Masjid Sultanah Bahiyah untuk disolatkan.

Dianggarkan lebih 200 orang terdiri daripada ahli keluarga dan rakan arwah hadir di tanah perkuburan bagi memberi penghormatan terakhir.

Anak kedua arwah, Siti Fairuz berkata, arwah bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan atau meninggalkan sebarang pesan buat mereka adik-beradik.

"Ayah kami pergi dalam keadaan mengejut, awal pagi tadi pun dia menunjukkan seperti dia sihat cara dia bersembang dengan kami pun nampak biasa sahaja," katanya.

Berkongsi mengenai peribadi bapa mereka, Siti Fairuz berkata, bapanya seorang yang mudah didekati, penyayang dan merendah diri walaupun dengan sesiapa sahaja.

Malaysia sekali lagi kehilangan permata dalam industri bola sepak tempatan apabila Mohd Azraai Khor meninggal dunia akibat sakit dalam perut di Kedah Medical Centre (KMC) di sini pada jam 12.05 tengah hari.

Sebelum itu, pada Selasa, peminat bola sepak tanah air menerima khabar duka apabila legenda bola sepak negara, Khalid Ali meninggal dunia pada usia 66 tahun selepas hampir setahun bertarung dengan kanser paru-paru.