Jepun telah menyatakan hasrat untuk menyertai proses pembidaan antarabangsa projek kereta api laju antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Hasrat Jepun itu disampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak oleh rakan sejawatannya, Shinzo Abe pada pertemuan dua hala antara kedua-dua pemimpin itu di luar Sidang Kemuncak Asean ke-25 di sini hari ini.

Pada 2013, Singapura dan Malaysia telah bersetuju untuk membina landasan kereta api laju menjelang 2020 yang akan mengurangkan masa perjalanan antara Singapura dan Kuala Lumpur kepada 90 minit.

Bercakap kepada wartawan Malaysia, Najib berkata Abe juga menjemput beliau mengadakan lawatan ke negara Matahari Terbit itu tahun depan.

Antara agenda dalam pertemuan itu ialah meningkatkan hubungan dua hala ke peringkat yang lebih strategik dalam pelbagai bidang.

Najib berkata turut dibincangkan ialah meningkatkan kerjasama dalam aspek penguatkuasaan maritim termasuk pembinaan kapasiti, aset dan pembinaan kemudahan latihan.

"Saya maklumkan bahawa Malaysia boleh menggunakan kepakaran Jepun bagi menangani isu ancaman keselamatan tahap rendah di kawasan Pantai Timur Sabah," katanya.

Perdana Menteri juga berkata Jepun berminat memberi bantuan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Selain itu, dalam pertemuan tersebut, Najib merakamkan ucapan terima kasih atas sokongan Jepun dalam pemilihan Malaysia menduduki kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penggal 2015-2016.

Najib juga menyatakan Malaysia akan menyokong pencalonan Jepun sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB bagi penggal 2016-2017.