KUALA LUMPUR: Sebanyak 11 kawasan, masing-masing lapan di Sarawak dan tiga di Semenanjung, mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat (kuning) akibat jerebu setakat 5 petang ini.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), lapan kawasan di Sarawak merekodkan bacaan tidak sihat ialah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian (183), Sarikei (182), Samarahan (176), Kuching (175), Samalaju (165), Sri Aman (157), Sibu (155) dan Mukah (154).
Di Semenanjung, dua kawasan di Johor mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu Larkin (119) dan Pasir Gudang (112) serta di Batu Muda, Kuala Lumpur (167).
Secara keseluruhan, 52 kawasan di seluruh negara dilaporkan berada pada tahap sederhana, manakala lima kawasan mencatatkan bacaan baik dan masing-masing sifar bagi bacaan tahap sangat tidak sihat dan bahaya.
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat serta angin kencang yang dijangka melanda hampir seluruh negara sehingga 9 malam ini.
Keadaan cuaca itu diramalkan melanda seluruh Perlis dan Pulau Pinang serta Langkawi, Padang Terap, Sik, Baling, Kulim, Bandar Baharu dan Kuala Muda di Kedah.
Amaran sama turut dikeluarkan bagi kawasan Larut Matang, Selama, Kuala Kangsar, Hulu Perak, Kinta, Kampar, Batang Padang, Muallim dan Kerian di Perak, manakala di Kelantan melibatkan Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas dan Machang.
Turut dijangka mengalami cuaca buruk itu di Terengganu melibatkan Dungun, Hulu Terengganu, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang, sementara di Pahang merangkumi kawasan Cameron Highlands, Raub, Bentong, Lipis, Kuantan, Pekan, Rompin, Temerloh dan Maran.
Kawasan lain termasuk Hulu Selangor dan Hulu Langat di Selangor; Jelebu, Negeri Sembilan dan Johor Bahru dan Kota Tinggi di Johor.
Cuaca sama turut dijangka melanda Sarawak melibatkan Bintulu (Tatau), Sibu (Selangau dan Kanowit), Mukah (Mukah), Kapit (Song), Limbang (Lawas), Miri (Bario), Kuching (Kuching dan Bau) dan Sarikei (Julau).
Sementara di Sabah, membabitkan Sandakan, Pantai Barat, Pedalaman (Pensiangan, Sook, Tenom, Sipitang, Beaufort, Membakut, Tambunan dan Keningau) dan Kudat (Kota Marudu).
-- BERNAMA