KUALA LUMPUR: Semua sekolah rendah dan menengah di bawah 12 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Sarawak akan dibuka semula bermula Isnin, 14 September, selepas pemantauan berterusan terhadap bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) susulan keadaan jerebu.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan, pembukaan semula sekolah itu melibatkan PPD Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Sri Aman, Kanowit, Julau, Meradong, Bintulu dan Tatau atau Sebauh.
Bagaimanapun, sekolah di bawah PPD Serian dan PPD Lubok Antu masih ditutup sementara sehingga kedua-dua daerah berkenaan merekodkan bacaan IPU di bawah 200.
“Pembukaan semula sekolah adalah tertakluk kepada bacaan IPU di bawah daripada 200. Sekiranya trend bacaan menunjukkan penurunan dan bacaan IPU berada di bawah 200, tindakan persediaan untuk pembukaan semula sekolah boleh diambil,” ujar JPN Sarawak.
Keputusan itu dibuat berdasarkan pemantauan berterusan bacaan IPU melalui Portal Rasmi Jabatan Alam Sekitar, iaitu Air Pollutant Index Management System (APIMS), selain laporan Jabatan Meteorologi Malaysia.
Dalam pada itu, JPN Sarawak mengingatkan pihak sekolah supaya mengambil langkah pencegahan bagi melindungi kesihatan dan keselamatan murid sepanjang keadaan jerebu.
Antara langkah berkenaan termasuk menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah sekiranya bacaan IPU melebihi 100, manakala semua sekolah di kawasan atau daerah yang merekodkan bacaan IPU melebihi 200 hendaklah ditutup serta-merta.
Sekiranya bacaan IPU melebihi 500, guru dan kakitangan tidak perlu hadir ke sekolah.
Selain itu, ibu bapa atau penjaga juga dibenarkan untuk tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bimbang terhadap kesihatan mereka susulan keadaan jerebu, dengan memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.