Sejumlah 19 kawasan di seluruh negara mencatatkan paras Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat sementara 31 lagi dalam paras sederhana.

Dalam rekod terbaharu portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada jam 8 malam Ahad, Banting di Selangor mencatatkan paras tertinggi dengan IPU 174.

Kawasan lain di negeri itu yang berada dalam paras tidak sihat tidak banyak berubah dalam tempoh dua jam sejak 6 petang. Kuala Selangor mencatat IPU 118, Petaling Jaya (143), Shah Alam (147) dan Pelabuhan Klang (161).

Di Melaka, Bukit Rambai dan Bandaraya Melaka masing-masing mencatat IPU 164dan 159.

Tiga kawasan di Negeri Sembilan juga mencatatkan IPU tinggi iaitu Seremban, Port Dickson dan Nilai pada paras IPU antara 159 hingga 168.

Di Sarawak, empat kawasan mencatatkan paras tidak sihat iaitu Sarikei (103), Sri Aman (116), Kuching (117) dan Samarahan (125).

Sementara itu di Johor, Pasir Gudang mencatatkan IPU 105 manakala Muar merekodkan 142.

Bagi warga Wilayah Persekutuan, kawasan Cheras, Kuala Lumpur mencatatkan 133, manakala Batu Muda (135) dan Putrajaya (161).

Sebanyak 31 kawasan dalam senarai JAS berada pada paras sederhana dengan hanya dua kawasan iaitu Tanah Merah Kelantan dan Kuala Terengganu berada dalam kategori baik.

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.