Skip to main content

Malaysia

Jerebu: 22 kawasan catat IPU tidak sihat, IPD Serian paling tinggi pagi ini

Sumber: BERNAMA
Sebanyak 22 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 9 pagi ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 22 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 9 pagi ini.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), bacaan tertinggi dicatatkan di IPD Serian (182) di Sarawak, manakala tujuh kawasan di negeri itu merekodkan IPU tidak sihat, iaitu Samarahan (168), Kuching (166), Sri Aman (163), Bintulu (153), Sibu (152), Sarikei (116) dan Samalaju (105). 

Lima kawasan di Johor turut merekodkan bacaan IPU tidak sihat, iaitu Larkin (162), Batu Pahat dan Pasir Gudang masing-masing mencatatkan rekod IPU (155) serta Segamat (154) dan Tangkak (153). 

Selain itu, Putrajaya dan Nilai di Negeri Sembilan masing-masing mencatatkan bacaan 154, manakala Shah Alam, Selangor mencatatkan bacaan 152, diikuti Cheras di Kuala Lumpur (133) dan Seremban, Negeri Sembilan (127).

IPU tidak sihat turut dicatatkan di Bukit Rambai, Melaka, merekodkan bacaan 121, Bandaraya Melaka (114), manakala di Selangor, iaitu Johan Setia (112) dan Petaling Jaya (102) .

Sementara itu, sebanyak 40 kawasan mencatatkan bacaan pada tahap sederhana, manakala lima kawasan merekodkan bacaan baik.

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement