Keadaan jerebu di seluruh negara masih berterusan dengan 34 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) masih pada tahap tidak sihat.

Ketika ini, S. K Jalan Pegoh, Ipoh mencatatkan bacaan tertinggi, 190 dan Balok Baru, Kuantan 183.

Selangor merupakan negeri paling teruk terjejas sejak tengah malam tadi dengan semua kawasan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat.

Bacaan IPU di Banting melepasi paras sangat tidak sihat antara 12 tengah malam tadi sehingga 2 pagi tadi dengan bacaan antara 203 dan 211.

Bagaimanapun, bacaan pada 10 pagi tadi, ia menurun kepada 174.

Kawasan lain di Lembah Klang yang mencatatkan bacaan tidak sihat ialah Batu Muda di Kuala Lumpur, 181, Pelabuhan Klang 166, Shah Alam 152, Cheras, Kuala Lumpur, 150.

Putrajaya pula mencatatkan bacaan IPU 166.

Bacaan IPU di Nilai, Negeri Sembilan turut melepasi tahap sangat tidak sihat apabila ia mencatatkan 205 pada 12 tengah malam, sebelum ia menurun kepada tahap tidak sihat dengan bacaan 174 pada 10 pagi tadi.

Selain Nilai, dua kawasan lain di Negeri Sembilan turut mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu Seremban 168, dan Port Dickson 155.

Dua kawasan di Melaka turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu Bukit Rambai 160 dan Bandaraya Melaka 149.