KUALA LUMPUR: AirBorneo Airways memaklumkan penerbangan dalam wilayah Borneo mungkin terjejas susulan keadaan jerebu yang semakin buruk.
Syarikat yang berpangkalan di Kuching, Sarawak itu berkata, beberapa penerbangan mungkin dijadualkan semula atau dibatalkan atas faktor keselamatan.
Menerusi notis perjalanan am pada Isnin, AirBorneo memaklumkan pihaknya sedang menilai perkembangan semasa dan sebarang perubahan terhadap jadual penerbangan akan diumumkan dari semasa ke semasa.
Penumpang dinasihatkan supaya memantau pengumuman terkini berhubung status penerbangan masing-masing sebelum memulakan perjalanan.
AirBorneo turut menasihatkan orang ramai agar menjaga keselamatan dan berada di dalam bangunan seboleh mungkin.
Setakat 10 malam Isnin, lima kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap berbahaya.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), IPD Serian mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 429, diikuti Kuching (385), Samarahan (355), Sri Aman (342) dan Sarikei (303).
Tiga lagi kawasan berada pada tahap sangat tidak sihat, membabitkan Sibu dengan bacaan 266, Mukah (218) dan Samalaju (203).
Beberapa kawasan lain di Sarawak turut mencatatkan kualiti udara tidak sihat, antaranya Bintulu (189), ILP Miri dan Miri yang masing-masing merekodkan bacaan 179, Kapit (171) serta Limbang (162).
Situasi jerebu turut menjejaskan Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Labuan merekodkan IPU 166, manakala tiga kawasan di Sabah berada pada tahap tidak sihat, iaitu Kota Kinabalu (157), Kimanis (153) dan Keningau (152).