Skip to main content

Malaysia

Jerebu dan kesihatan paru-paru: Tanda yang perlu diawasi

Pakar kesihatan menasihatkan orang ramai peka terhadap perubahan pernafasan ketika jerebu, terutama kanak-kanak, warga emas dan pesakit asma, serta segera mendapatkan rawatan jika gejala bertambah buruk. - Gambar fail/BERNAMA
Pakar kesihatan menasihatkan orang ramai peka terhadap perubahan pernafasan ketika jerebu, terutama kanak-kanak, warga emas dan pesakit asma, serta segera mendapatkan rawatan jika gejala bertambah buruk. - Gambar fail/BERNAMA

Advertisement

KUALA LUMPUR: Bayi yang kurang menyusu seperti biasa atau warga emas yang tiba-tiba tercungap-cungap semasa berjalan mungkin tidak kelihatan seperti mempunyai masalah pernafasan namun apabila jerebu melanda, perubahan kecil pada corak pernafasan, selera makan atau tahap tenaga boleh menjadi tanda awal bahawa paru-paru sudah mula terjejas.

Pakar Perubatan Dalaman, Respiratori dan Pulmonologi Intervensi Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) Dr Syed Ajmal Syed Ali berkata golongan rentan memerlukan lebih perhatian apabila kualiti udara merosot.

“Ramai yang menganggap masalah pernafasan akibat jerebu adalah jelas dan ketara tetapi tanda amaran terawal sebenarnya agak halus terutamanya bagi golongan dewasa rentan atau warga emas,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata tanda amaran paling penting adalah sebarang perubahan daripada rutin harian individu dan bagi warga emas, mereka perlu memberi perhatian kepada perubahan semasa melakukan aktiviti harian untuk mengenal pasti jika pernafasan terjejas akibat jerebu termasuk peningkatan batuk atau kahak, mengah, dada terasa ketat atau lebih mudah sesak nafas.

Dr Syed Ajmal menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan perubatan jika masalah sesak nafas, batuk atau mengah semakin teruk, atau jika ubat yang biasa diambil tidak lagi memberikan kelegaan.

Menjelaskan mengenai bagaimana jerebu menjejaskan paru-paru, Dr Syed Ajmal berkata zarah halus dikenali sebagai PM2.5 mampu menembus jauh ke dalam saluran pernafasan dan kantung udara yang lebih kecil dan boleh mencetuskan keradangan serta meningkatkan penghasilan mukus.

Jika perlu keluar, beliau menasihatkan penggunaan pelitup muka N95 atau KN95 secara betul.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kanak-Kanak dan Respiratori Kanak-Kanak SMC Dr Noor Zehan Abdul Rahim berkata bagi kanak-kanak, sesak nafas atau perubahan pada corak pernafasan dan penyusuan secara tiba-tiba mungkin antara tanda paling awal bahawa jerebu sedang menjejaskan paru-paru mereka.

Beliau berkata batuk dan hidung tersumbat boleh melarat menjadi kesukaran untuk bernafas atau menyusu, dan bayi yang meragam tanpa sebab atau kurang menyusu disebabkan hidung tersumbat mungkin sudah menunjukkan tanda-tanda awal kesukaran bernafas.

“Jangan tunggu sehingga kanak-kanak jelas kelihatan sukar bernafas barulah mahu mendapatkan bantuan,” katanya sambil menasihati ibu bapa agar mendapatkan bantuan perubatan jika batuk atau selesema anak mula mengganggu pernafasan atau penyusuan mereka.

Dr Noor Zehan juga mengingatkan orang ramai agar tidak menggunakan essential oil untuk menangani jerebu kerana ia tidak menghilangkan pencemar udara malah berisiko menambah bahan asing di dalam rumah.

Kedua-dua pakar turut menekankan bahawa meskipun membaca indeks kualiti udara membantu keluarga membuat keputusan untuk mengurangkan pendedahan di luar, pemantauan perubahan gejala adalah sama pentingnya.

Mereka juga berkata bagi warga emas, faktor penuaan mengurangkan kapasiti paru-paru serta keupayaan tubuh untuk membersihkan zarah yang terhirup manakala bagi kanak-kanak, saluran udara yang lebih kecil dan paru-paru yang masih berkembang membuatkan mereka lebih mudah mengalami kesukaran bernafas.

Bagi pesakit asma dan penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD), meskipun berada dalam keadaan terkawal, pendedahan kepada udara tercemar masih boleh mencetuskan serangan.

Kedua-dua doktor menasihatkan orang ramai agar kekal berada di dalam rumah seboleh mungkin dan mengelakkan aktiviti fizikal yang berat di luar, selain mengekalkan pergerakan di dalam rumah di mana kanak-kanak boleh bermain manakala warga emas melakukan senaman ringan.

Mereka berkata apabila kualiti udara di luar merosot, semua tingkap dan pintu hendaklah ditutup manakala penggunaan penapis udara yang mampu menapis zarah halus boleh membantu dan penapis pendingin udara serta pembersih udara perlu diselenggara secara berkala.

Dr Syed Ajmal turut menasihati pesakit agar terus mengambil ubat yang dipreskripsikan dan sentiasa membawa inhaler pelega bersama-sama mereka manakala Dr Noor Zehan menyarankan ibu bapa agar memahami serta sentiasa bersedia dengan pelan tindakan asma anak mereka.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement