Ringkasan AI
- Kualiti udara di Pasir Gudang, Johor dan Sri Aman, Sarawak kekal tidak sihat dengan bacaan IPU masing-masing 154 dan 152 setakat tengah hari ini.
- Larkin, Johor dan IPD Serian, Sarawak mencatatkan peningkatan bacaan IPU kepada 149, menunjukkan trend kemerosotan kualiti udara di kawasan terlibat.
- Orang ramai, terutama golongan rentan, dinasihatkan mengehadkan aktiviti luar dan memakai pelitup muka bagi mengurangkan pendedahan kepada pencemar udara.
KUALA LUMPUR: Kualiti udara di empat kawasan di Johor dan Sarawak yang berada dalam kategori tidak sihat terus merosot susulan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat jam 12 tengah hari ini.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pasir Gudang di Johor kekal merekodkan bacaan IPU tertinggi di negara ini pada paras 154, manakala Sri Aman di Sarawak kekal pada bacaan 152.
Larkin di Johor dan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serian di Sarawak pula masing-masing mencatatkan bacaan IPU 149, meningkat daripada 135 yang direkodkan pada jam 11 pagi.
Sementara itu, 59 stesen pengawasan di seluruh negara berada pada tahap sederhana, dengan beberapa kawasan menghampiri kategori tidak sihat.
Antara kawasan terbabit ialah Samarahan di Sarawak dengan bacaan 95, diikuti Kuching (94), Bintulu (89), Pengerang, Johor (87), Cheras, Kuala Lumpur (86) dan Batu Pahat, Johor (85).
Bagi kategori baik, iaitu bacaan IPU di bawah 50, hanya empat stesen direkodkan setakat tengah hari ini. Temerloh di Pahang mencatatkan bacaan 50, Kulim Hi-Tech di Kedah (48), Langkawi, Kedah (46), manakala Kangar, Perlis merekodkan bacaan terendah iaitu 43.
Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 diklasifikasikan sebagai berbahaya.
Orang ramai, khususnya golongan rentan seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai penyakit pernafasan kronik, dinasihatkan mengehadkan aktiviti luar, minum air secukupnya serta memakai pelitup muka bagi mengurangkan pendedahan kepada pencemar udara.
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Apakah kawasan yang mencatatkan kualiti udara tidak sihat di Johor dan Sarawak?
A: Kawasan yang mencatatkan kualiti udara tidak sihat ialah Pasir Gudang dan Larkin di Johor, serta Sri Aman dan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serian di Sarawak. - Q: Berapakah bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi yang direkodkan setakat jam 12 tengah hari?
A: Bacaan IPU tertinggi ialah 154 di Pasir Gudang, Johor, diikuti Sri Aman, Sarawak dengan bacaan 152. - Q: Apakah kategori bacaan IPU dan julat nilainya?
A: Bacaan IPU 0-50 dikategorikan sebagai baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat, dan melebihi 300 diklasifikasikan sebagai berbahaya. - Q: Apakah nasihat kepada orang ramai berikutan peningkatan bacaan IPU?
A: Orang ramai, khususnya golongan rentan seperti kanak-kanak, warga emas dan individu dengan penyakit pernafasan kronik, dinasihatkan mengehadkan aktiviti luar, minum air secukupnya dan memakai pelitup muka. - Q: Berapakah jumlah stesen yang merekodkan kualiti udara sederhana dan baik setakat tengah hari?
A: Sebanyak 59 stesen merekodkan kualiti udara sederhana, manakala hanya empat stesen mencatatkan kualiti udara baik setakat tengah hari.