KUCHING: Enam sekolah di kawasan Tebedu, Serian, ditutup sementara hari ini, susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 akibat jerebu.
Menurut kenyataan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), penutupan tersebut merupakan langkah pencegahan yang dilaksanakan berdasarkan ketetapan dan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dengan mengambil kira keutamaan terhadap keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan murid serta seluruh warga sekolah.
"Sehingga jam 10.30 pagi, 12 Ogos 2026, enam buah sekolah yang ditutup ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sejijag yang mempunyai 51 murid dan 14 staf; SK Sungai Sameran ( 129 murid dan 21 staf); SK Tepoi (42 murid dan 15 staf); SK Entubuh (67 murid dan 18 staf); SK Temong (205 murid, 21 staf); dan SK Tema (85 murid dan 15 staf)," kata kenyataan itu.
JPNS menjelaskan, pihak sekolah tidak perlu menunggu arahan khusus daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau JPNS untuk mengambil tindakan penutupan sekolah apabila bacaan IPU di kawasan atau daerah masing-masing telah melebihi 200.
"Selaras dengan Surat Siaran KPM Bil. 1 Tahun 2019: Langkah-Langkah KPM Bagi Menjamin Kesihatan dan Keselamatan Murid-Murid di Sekolah-Sekolah yang Berada dalam Kawasan Berjerebu yang Dianggap Kritikal, sekiranya bacaan IPU melebihi 200, semua sekolah yang berada dalam kawasan atau daerah berkenaan hendaklah ditutup dengan serta-merta," katanya.
Sehubungan itu katanya, pengetua dan guru besar hendaklah bertindak segera berdasarkan bacaan IPU semasa di kawasan masing-masing.
"Pada masa yang sama, pihak sekolah hendaklah memaklumkan tindakan penutupan tersebut kepada PPD dan JPN dengan kadar segera bagi tujuan penyelarasan, pemantauan dan rekod," katanya.
Walaupun sekolah ditutup sementara, proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian diteruskan bagi memastikan kesinambungan pembelajaran murid tidak terjejas sepanjang tempoh penutupan.
Pihak sekolah juga hendaklah memastikan komunikasi dengan ibu bapa dan penjaga dilaksanakan dengan baik, selain memberikan perhatian terhadap kebajikan dan kesihatan murid sepanjang tempoh penutupan, jelasnya.
JPNS melalui PPD Serian akan terus memantau perkembangan bacaan IPU dan keadaan kualiti udara dari semasa ke semasa dengan mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa serta agensi berkaitan.
"Sebarang keputusan berkaitan pembukaan semula sekolah hendaklah mengambil kira perkembangan bacaan IPU dan arahan serta panduan yang sedang berkuat kuasa," katanya.
Dalam pada itu, ibu bapa dan penjaga diminta memberikan kerjasama dengan memastikan anak-anak berada dalam keadaan selamat serta mengikuti makluman rasmi yang dikeluarkan oleh pihak sekolah, PPD Serian dan JPNS.
"Ibu bapa dan penjaga juga dinasihatkan agar tidak bergantung kepada maklumat tidak rasmi atau menunggu arahan tambahan sekiranya pihak sekolah telah mengumumkan penutupan berdasarkan bacaan IPU yang melebihi 200," katanya.