Skip to main content

Malaysia

Jerebu: Hanya 30 sekolah di Lubok Antu, Sarawak ditutup setakat ini - Wong

KULAI, 28 Ogos -- Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berucap ketika mengadakan lawatan kerja rasmi ke Sekolah Kebangsaan Bandar Putra 2 hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berucap ketika mengadakan lawatan kerja rasmi ke Sekolah Kebangsaan Bandar Putra 2 hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

KULAI: Sebanyak 30 sekolah di Lubok Antu, Sarawak telah diarahkan tutup sementara setakat ini berikutan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 200.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata penutupan itu melibatkan 28 buah sekolah rendah dan dua sekolah menengah yang diputuskan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak berkuat kuasa hari ini.

Beliau berkata mengikut garis panduan Kementerian Pendidikan, pengoperasian semua sekolah di sesuatu daerah atau kawasan terjejas perlu ditutup jika bacaan IPU melebihi 200.

"Tempoh masa penutupan (sekolah terjejas di Sarawak) akan diputuskan pihak pentadbir sekolah, JPN dan PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) bergantung kepada bacaan IPU," katanya pada sidang media sempena lawatan rasminya ke Sekolah Kebangsaan Bandar Putra 2 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Wong berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status sekolah yang ditutup di negara ini akibat jerebu.

Beliau berkata tiada penutupan sekolah dilaporkan di negeri lain setakat ini dan sebarang maklumat terkini akan dimaklumkan kementeriannya dari masa ke semasa. 

Bagi bacaan IPU melebihi 100, beliau berkata pihak sekolah diminta menghentikan serta-merta semua aktiviti di luar bilik darjah termasuk sukan dan sebarang majlis.

Wong berkata pihak pentadbir sekolah diberikan autonomi untuk membuat keputusan menutup atau membuka semula sekolah, berdasarkan pemantauan dan bacaan semasa IPU setelah merujuk pihak JPN dan PPD.  

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement