KUALA LUMPUR: Stesen pemantauan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian, Sarawak kekal sebagai satu-satunya stesen di negara ini yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 12 tengah hari ini.
Menurut data terkini Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), stesen berkenaan mencatat bacaan IPU 153 dan kekal pada bacaan yang sama sejak jam 11 pagi.
Sementara itu, kualiti udara di kebanyakan kawasan lain di seluruh negara kekal pada tahap sederhana dan baik, dengan Kuching, Sarawak merekodkan bacaan tertinggi dalam kategori sederhana iaitu IPU 89.
Pasir Gudang, Johor dan Rompin, Pahang pula masing-masing mencatat bacaan IPU 83.
Secara keseluruhan, status kualiti udara nasional yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan hanya satu stesen berada pada tahap tidak sihat, manakala 61 stesen lagi merekodkan bacaan sederhana.
Antara stesen yang mencatat bacaan sederhana ialah Samarahan (82), Batu Pahat (79), Nilai (78), Larkin (78) dan Cheras (74).
Bagi kategori baik pula, enam stesen merekodkan bacaan di bawah paras 50, dengan Langkawi, Kedah dan Tanah Merah, Kelantan masing-masing mencatat bacaan terendah negara iaitu IPU 36.
Orang ramai, khususnya di kawasan terjejas, dinasihatkan mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah serta mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu.