Ringkasan AI
- Bacaan IPU di IPD Serian dan Sri Aman, Sarawak menurun tetapi masih dalam kategori tidak sihat bersama dua stesen di Johor.
- Pasir Gudang dan Larkin di Johor mencatatkan bacaan IPU tertinggi, masing-masing 155 dan 153, manakala 59 stesen lain berada pada tahap sederhana.
- Empat stesen kini dalam kategori baik dengan Kangar, Perlis merekodkan bacaan IPU terendah iaitu 34 di seluruh negara.
KUALA LUMPUR: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serian dan Sri Aman di Sarawak menunjukkan penurunan setakat jam 5 petang ini, namun kedua-dua kawasan itu bersama dua lagi stesen di Johor masih berada dalam kategori tidak sihat.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pasir Gudang di Johor kekal merekodkan bacaan IPU tertinggi di negara ini pada paras 155, menurun satu mata berbanding bacaan pada jam 4 petang.
Larkin di Johor pula mencatatkan peningkatan kepada 153 berbanding 152 sebelumnya.
Di Sarawak, IPD Serian merekodkan bacaan IPU 139 berbanding 151 pada jam sebelumnya, manakala Sri Aman menurun kepada 128 daripada 139 pada jam 4 petang.
Sementara itu, 59 stesen pengawasan di seluruh negara berada pada tahap sederhana, dengan Samarahan dan Kuching di Sarawak terus menghampiri kategori tidak sihat apabila masing-masing merekodkan bacaan IPU 99 dan 97.
Batu Pahat di Johor turut mencatatkan peningkatan kepada bacaan IPU 93.
Bagi kategori baik, iaitu bacaan IPU 50 dan ke bawah, jumlah stesen meningkat kepada empat selepas Sandakan, Sabah merekodkan bacaan 50.
Tiga lagi kawasan yang berada dalam kategori baik ialah Taiping, Perak (46), Langkawi, Kedah (41) dan Kangar, Perlis (34), yang turut merekodkan bacaan IPU terendah di negara ini.
Satu stesen pengawasan di Kota Kinabalu, Sabah dilaporkan tidak mempunyai bacaan atau berada pada status tidak tersedia (N/A).
Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 diklasifikasikan sebagai berbahaya.
Orang ramai, khususnya kanak-kanak, warga emas dan individu yang menghidap asma atau penyakit pernafasan kronik, dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar serta memakai pelitup muka jika perlu berada di kawasan terjejas bagi mengurangkan pendedahan kepada pencemar udara.
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Apakah kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tertinggi di Malaysia setakat jam 5 petang?
A: Pasir Gudang di Johor mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 155. - Q: Berapakah bacaan IPU di IPD Serian dan Sri Aman, Sarawak pada jam 5 petang?
A: IPD Serian mencatatkan bacaan IPU 139 manakala Sri Aman 128. - Q: Apakah kategori bacaan IPU dan julat nilainya?
A: Bacaan IPU 0-50 dikategorikan sebagai baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat, dan melebihi 300 berbahaya. - Q: Berapakah jumlah stesen yang berada pada tahap sederhana dan baik?
A: Sebanyak 59 stesen berada pada tahap sederhana, dan empat stesen berada dalam kategori baik. - Q: Apakah nasihat kepada orang ramai berikutan bacaan IPU tidak sihat?
A: Orang ramai, khususnya kanak-kanak, warga emas dan individu berpenyakit pernafasan, dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar dan memakai pelitup muka jika perlu berada di kawasan terjejas.