KUALA LUMPUR: Situasi jerebu di seluruh negara terus bertambah baik apabila dua lagi kawasan, iaitu Cheras dan Bandaraya Melaka, keluar daripada kategori tidak sihat, menjadikan jumlah kawasan terjejas berkurangan kepada 12 stesen setakat jam 4 petang ini.
Berdasarkan data kualiti udara terkini, Cheras di Kuala Lumpur mencatatkan penurunan 13 mata daripada 113 kepada 100, manakala Bandaraya Melaka turut mencatatkan penurunan tiga mata daripada 103 kepada 100, sekali gus meletakkan kedua-dua kawasan dalam kategori sederhana.
Nilai di Negeri Sembilan bagaimanapun kekal merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi negara dengan bacaan tidak berubah pada paras 162.
Di stesen lain di Negeri Sembilan, Seremban meningkat satu mata kepada 157 berbanding 156 pada jam 3 petang tadi, manakala Port Dickson mencatatkan penurunan tujuh mata kepada 122 berbanding 129 pada jam sebelumnya.
Di Melaka, stesen Bukit Rambai mencatatkan penurunan satu mata kepada 156.
Di Lembah Klang, sebahagian besar stesen utama mula mencatatkan penurunan kecil apabila Petaling Jaya dan Klang masing-masing turun satu mata kepada 154, manakala Shah Alam menurun satu mata kepada 152.
Johan Setia dan Putrajaya pula kekal pada bacaan masing-masing 155 dan 151, manakala Batu Muda di Kuala Lumpur mencatatkan penurunan dua mata kepada 153.
Bagi stesen terjejas lain, Tangkak di Johor serta Banting di Selangor masing-masing kekal pada bacaan 152 dan 151.
Sementara itu, kualiti udara di Pasir Gudang terus bertambah baik selepas menurun tiga mata kepada 96 berbanding 99 pada jam terdahulu, manakala Alor Gajah di Melaka dan Kluang di Johor masing-masing merekodkan bacaan 99, iaitu yang tertinggi dalam kategori sederhana.
Secara keseluruhan, 56 stesen pemantauan IPU di seluruh negara berada dalam kategori sederhana dan baik.
Kualiti udara terbaik direkodkan di Limbang, Sarawak dengan bacaan 38, diikuti Kimanis, Sabah pada bacaan 40.