KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mengambil tindakan undang-undang lebih tegas bagi menangani masalah jerebu rentas sempadan yang berulang setiap tahun.
Pakar Governan Persekitaran Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata, pendekatan sedia ada di peringkat ASEAN lebih banyak bergantung kepada kerjasama antara negara dan perkara sedemikian menjadi punca tiada pihak yang mengambil pengajaran.
“Kalau kita lihat di peringkat ASEAN, tidak ada satu sistem yang kita boleh katakan satu penguatkuasaan atau tindakan undang-undang yang tegas. Kita lebih kepada aspek koordinasi kerjasama yang menjaga hubungan ASEAN.
“Atas faktor itu saya katakan, kalau kita mahu cegah jerebu ini, kita masih bergantung kepada Indonesia untuk menghapuskan punca jerebu rentas sempadan dan kerjasama serantau yang lain. Maka saya rasa kita perlu mengetatkan tindakan dari segi undang-undang dan mengurangkan aspek dari segi soft law,” katanya dalam rancangan Agenda AWANI pada Isnin.
Tambah beliau, tindakan perundangan antarabangsa juga boleh dipertimbang sekiranya jerebu menyebabkan kerugian besar kepada negara terjejas.
Haliza memaklumkan, perubahan iklim juga dijangka memburukkan keadaan jerebu apabila ia boleh menyebabkan hujan berkurangan, suhu meningkat dan tanah menjadi lebih kering.
“Namun sebenarnya kalau kita lihat berbanding dengan El Nino, aktiviti manusia sendiri menyebabkan berlakunya jerebu, ditambah lagi dengan faktor-faktor seperti pergerakan angin, suhu dan sebagainya.
“Misalnya aktiviti manusia seperti yang kita tahu, membersihkan tanah untuk membuat pertanian, melakukan pembakaran hutan atau membersihkan hasil-hasil pertanian seperti padi atau kelapa sawit untuk penanaman baru, itulah juga antara lain yang sebenarnya menyumbang kepada memburukkan keadaaan ini,” ujarnya.