KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu di Sarawak menunjukkan tanda-tanda pemulihan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Samalaju menurun kepada 146 setakat jam 1 tengah hari, namun kawasan itu kekal satu-satunya lokasi di negara ini yang berada dalam kategori tidak sihat.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU di Samalaju turun daripada 151 yang direkodkan sejak beberapa jam lalu.
Di Sarawak, semua stesen lain kekal dalam kategori sederhana dengan Bintulu mencatat bacaan tertinggi sebanyak 94, diikuti IPD Serian (85), Sri Aman (80), Sibu (79), Samarahan (79), Kuching (77), Sarikei (72) dan Mukah (67).
Di Semenanjung, kualiti udara berada pada tahap baik dan sederhana. Batu Muda di Kuala Lumpur merekodkan bacaan tertinggi dalam kategori sederhana iaitu 89, diikuti Batu Pahat (84) dan Kluang (83) di Johor.
Seremban dan Johan Setia masing-masing mencatat bacaan 71, manakala Nilai merekodkan bacaan 64.
Bagi kawasan dalam kategori baik, Tanah Merah di Kelantan mencatat bacaan tertinggi iaitu 50, diikuti Kuala Selangor dan Kimanis yang masing-masing merekodkan bacaan 49.
Paka di Terengganu mencatat bacaan 44, manakala Sungai Petani, Kota Bharu dan Banting masing-masing merekodkan bacaan antara 46 hingga 47.
Secara keseluruhan, Balik Pulau di Pulau Pinang kekal merekodkan kualiti udara terbaik di negara ini dengan bacaan IPU 16, diikuti Langkawi di Kedah pada bacaan 17.