Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Jerebu semakin buruk, Kuala Terengganu masuk senarai 32 kawasan IPU tidak sihat

KUALA TERENGGANU, 15 Sept - Keadaan jerebu menyelubungi sekitar Kuala Terengganu sehingga menjejaskan jarak penglihatan semasa tinjauan hari ini. Sehingga 3 petang ini, Kemaman merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat iaitu 161 diikuti Paka (158) dan Kuala Terengganu (157). - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Kemasukan Kuala Terengganu ke dalam kategori tidak sihat dengan bacaan IPU 101 menunjukkan jerebu kini mula menjejaskan kawasan Pantai Timur Semenanjung. -Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu di negara ini semakin buruk apabila Kuala Terengganu menjadi kawasan terbaharu merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, menjadikan keseluruhan 32 stesen pemantauan udara berada dalam kategori itu setakat 12 tengah hari ini.

Menurut data terkini daripada Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), stesen pemantauan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian, Sarawak terus merekodkan bacaan tertinggi negara iaitu IPU 175.

Ia diikuti oleh dua stesen di Johor, iaitu Larkin dan Pasir Gudang yang masing-masing mencatatkan IPU 172, manakala Bandaraya Melaka merekodkan bacaan IPU 170.

Kawasan lain yang turut mencatatkan bacaan tidak sihat termasuk Nilai dan Johan Setia yang masing-masing merekodkan IPU 169, diikuti Bukit Rambai (167), Cheras (165), serta Shah Alam dan Batu Pahat yang masing-masing mencatatkan IPU 164.

Kemasukan Kuala Terengganu ke dalam kategori tidak sihat dengan bacaan IPU 101 menunjukkan jerebu kini mula menjejaskan kawasan Pantai Timur Semenanjung.

Status kualiti udara nasional yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan kemerosotan ketara apabila daripada 68 stesen pemantauan di seluruh negara, 32 berada pada tahap tidak sihat, 30 pada tahap sederhana dan hanya enam lagi dalam kategori baik.

Bagi kawasan kategori sederhana, Kemaman mencatatkan bacaan IPU 94 manakala Minden merekodkan IPU 92.

Dalam kategori baik pula, Limbang, Sarawak mencatatkan bacaan terendah negara iaitu IPU 28, diikuti Kota Kinabalu (30) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (32).

Bacaan IPU antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 berada pada tahap berbahaya.

Orang ramai, khususnya di kawasan terjejas, dinasihatkan mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah serta mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu.
 

Must Watch Video

Advertisement