Skip to main content

Malaysia

Jerebu: Sempat surut seketika, IPU tidak sihat melonjak ke 16 kawasan pada petang Isnin

Sumber: BERNAMA
Sarawak kekal paling terjejas dengan enam kawasan, diketuai IPD Serian yang mencatatkan IPU 192, menghampiri paras sangat tidak sihat. - Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jumlah kawasan merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat sempat menurun pada sebelah pagi, sebelum meningkat mendadak kepada 16 kawasan setakat jam 5 petang Isnin.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), sebanyak 10 kawasan mencatatkan udara tidak sihat pada jam 6 pagi, dengan lima daripadanya berada di Sarawak.

Jumlah itu kemudian berkurangan kepada sembilan kawasan pada jam 11 pagi selepas Kuala Selangor terkeluar daripada kategori tidak sihat.

Namun, keadaan kembali merosot apabila jumlah kawasan terjejas meningkat kepada 12 pada jam 2 petang, susulan Mukah di Sarawak dan Seri Manjung, Perak memasuki kategori tidak sihat.

Trend itu berterusan apabila jumlahnya melonjak kepada 16 kawasan pada jam 5 petang, dengan Tasek Ipoh, Shah Alam, Putrajaya dan Cheras menjadi kawasan terbaharu merekodkan tahap tidak sihat.

Sarawak kekal paling terjejas dengan enam kawasan, diketuai IPD Serian yang mencatatkan IPU 192, menghampiri paras sangat tidak sihat.

Kuching merekodkan bacaan 181, diikuti Samarahan (173), Sri Aman (156), Bintulu (145) dan Mukah (134).

Di Selangor, Johan Setia merekodkan bacaan 162, manakala Kuala Selangor dan Shah Alam masing-masing mencatatkan IPU 112 dan 105.

Sungai Petani dan Alor Setar di Kedah pula masing-masing merekodkan bacaan 155 dan 151.

Di Perak, Seri Manjung mencatatkan IPU 134 dan Tasek Ipoh 115, manakala Minden di Pulau Pinang berada pada 117.

Putrajaya merekodkan bacaan 102, sementara Cheras di Kuala Lumpur mencatatkan IPU 101.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata situasi jerebu rentas sempadan dibincangkan bersama Menteri Lingkungan Hidup Indonesia, Jumhur Hidayat menerusi panggilan telefon pada Isnin.

Menurutnya, kerajaan turut merakamkan penghargaan kepada Indonesia atas persetujuan memberikan kebenaran rasmi untuk merentasi ruang udara republik itu bagi melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan sempadan kedua-dua negara.

Arthur berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sedang merangka jadual operasi untuk diselaraskan bersama Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI).

Malaysia juga bersedia membantu operasi pemadaman kebakaran di Indonesia sekiranya diperlukan, dengan perkara itu akan dibawa kepada Jemaah Menteri untuk diputuskan.

Menurut Arthur, kementeriannya akan terus memantau pergerakan titik panas dan kualiti udara menerusi Jabatan Alam Sekitar serta MetMalaysia, selain mengekalkan hubungan rapat dengan pihak berkuasa Indonesia.

Mengikut klasifikasi APIMS, bacaan IPU antara sifar hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan melebihi 300 sebagai berbahaya.

Must Watch Video

Advertisement