Semua sekolah di Port Dickson dibuka semula esok ekoran Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat 5 petang ini berada di bawah tahap bahaya, kata Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan Kalsom Khalid.

"Dengan penurunan bacaan IPU ini, saya mendapat arahan supaya semua sekolah di Port Dickson dibuka semula esok setelah ditutup hari ini," katanya di sini, hari ini.

Sebanyak 61 buah sekolah rendah dan menengah yang melibatkan lebih 24,000 orang pelajar di Port Dickson ditutup hari ini berikutan bacaan IPU melebihi 300.

Mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, sekolah boleh ditutup jika bacaan IPU melebihi 300.

Kalsom berkata pihaknya akan mengambil langkah sama ada menutup dan membuka semula sekolah bergantung kepada kualiti udara di sesuatu kawasan itu.