Semua sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka akan terus ditutup sehingga diberitahu kelak.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata, kementerian akan terus memantau keadaan jerebu tu dan akan memaklumkan kepada semua pengarah pendidikan negeri mengenai perkara itu.

Menurutnya, penutupan 2,045 sekolah di lima negeri itu yang membabitkan 1.523 juta pelajar dibuat berikutan ada beberapa kawasan telah mencatatkan bacaan IPU 200 iaitu kualiti udara sangat tidak sihat.

"Kementerian sedang memantau keadaan jerebu di tiga negeri lain iaitu Perak, Pahang dan Terengganu yang ketika ini mencatatkan bacaan IPU tidak sihat.

"Jika bacaan IPU di ketiga-tiga negeri itu melepasi 200, ia juga akan ditutup," katanya pada sidang media di Institut Perguruan Guru, Kampus Bahasa Melayu, di sini, hari ini

Di samping itu, katanya, kementerian telah mengarahkan semua sekolah di kawasan yang mencatatkan IPU melebihi 150, membatalkan semua aktiviti luar kelas.

Beliau berkata, semua sekolah yang masih dibuka juga sudah dimaklumkan supaya mengambil langkah-langkah penjagaan kesihatan pelajar, termasuk penggunaan topeng penutup mulut.

Mahdzir turut menggesa pihak Pengetua dan Guru Besar untuk membuat pemantauan masing-masing berdasarkan kepada maklumat dari kementerian atau Jabatan Meteorologi dan untuk menentukan masa yang sesuai untuk membuka sekolah semula.

"Langkah menjaga kesihatan ketika jerebu ini perlu diberi perhatian.

"Kita telah kelurkan arahan dan pekeliling berhubung langkah penjagaan kesihatan ketika musim jerebu." kata Mahdzir.

Mengulas jangkaan pembukaan semula sekolah, Mahdzir berkata ia bergantung kepada indeks dan kawasan yang terkesan.

"Jika sebuah indeks IPU sebuah daerah telah menurun di bawah 150, kita benarkan Pejabat Pendidikan Daerah untuk buka sekolah di kawasan itu," katanya lagi.

Bagi pihak guru-guru, Mahadzir kata peraturan telah ditetapkan untuk mereka tetap hadir.

Mengulas jika pihak kementerian akan mengkaji semula IPU 200 yang ditetapkan setakat ini bagi penutupan sekolah, beliau berkata ia bergantung kepada perbincangan antara Bahagian Meteorologi, Jabatan kesihatan, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pendidikan.

Setakat ini kesan jerebu meliputi 60 peratus di semenanjung Malaysia khususnya kawasan pantai barat dan 35 peratus di Sarawak.

Sebelum ini Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan Pelan Tindakan Jerebu yang memberhentikan segala aktiviti luar bilik darjah jika bacaan IPU melebihi 150 dan jika melebihi 200, sekolah perlu ditutup.

Bagaimanapun pihak Guru Besar dan Pengetua perlu memaklumkan kepada pihak Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri sekiranya sekolah perlu ditutup.



[Video]: Sekolah di lima negeri ditutup sehingga diberitahu kelak