Skip to main content

Malaysia

JHEAINS siasat dakwaan wanita tidak hormati Ramadan menerusi siaran langsung TikTok

JHEAINS
Mohd Asri berkata, wanita berusia 27 tahun itu ditahan di Kuala Pilah semalam, dan kini disiasat di bawah Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 atas kesalahan menghina atau mencela agama Islam. - Gambar Bernama

SEREMBAN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) sedang menyiasat dakwaan seorang wanita dipercayai tidak menghormati bulan Ramadan menerusi siaran langsung di akaun TikTok miliknya pada Ahad lepas.

Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd Asri Abdullah berkata, wanita berusia 27 tahun itu ditahan di Kuala Pilah semalam, dan kini disiasat di bawah Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 atas kesalahan menghina atau mencela agama Islam.

Advertisement

Beliau berkata, hasil penelitian terhadap video tular berkenaan mendapati wanita itu berinteraksi secara langsung dengan pengikutnya kira-kira 6.45 petang.

"Semasa siaran langsung itu, individu berkenaan didapati secara terbuka makan dan minum," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Asri berkata, orang ramai khususnya umat Islam dinasihatkan supaya lebih peka terhadap sensitiviti agama serta memuliakan Ramadan dengan mengamalkan sikap dan tingkah laku terpuji selaras dengan tuntutan agama Islam.

Beliau berkata, JHEAINS komited memastikan setiap urusan berkaitan umat Islam di negeri ini diurus dengan tertib, penuh hikmah dan berlandaskan syariat Islam serta undang-undang yang berkuat kuasa.

Terdahulu, tular di media sosial memaparkan seorang wanita didakwa minum air secara terbuka ketika berinteraksi bersama pengikutnya ketika sedang bersiaran langsung (live) menerusi TikTok.

-- BERNAMA

Must Watch Video