KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyemak semula beberapa prosedur yang mungkin perlu dilengkapkan bagi memastikan dua individu dikehendaki iatu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low; dan Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee tersenarai dalam  Notis Merah Polis Antarabangsa (Interpol).

Ia meskipun permohonan berkaitannya sudahpun dilakukan pihak PDRM sebelum ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata pihaknya akan melakukan semakan itu kerana beberapa protokol perlu dipatuhi sebelum kedua-dua individu itu berada dalam senarai Notis Merah Interpol.

“Untuk Nicky Liow dan Jho Low kita telah pun buat permohonan Red Notice, namun demikian saya diberitahu bahawa ianya belum lagi di dalam (Notis Merah) Interpol. Mungkin atas sebab yang saya sendiri pun kurang jelas.

“Nanti saya akan dapatkan pengesahan. Untuk permohan Red Notice di dalam Interpol ini perlu memenuhi beberapa protokol yang perlu dipatuhi dan ini yang mungkin ada berlakunya kadang-kadang kita lihat kita telah mohon tetapi tidak terkeluar,” katanya dalam sidang media di Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (APM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Pada 15 April lalu, PDRM dilaporkan memohon supaya nama Nicky Liow berada dalam senarai Notis Merah Interpol.

Nicky, 33, dikehendaki polis dipercayai mengetahui maklumat mengenai operasi yang bakal dibuat terhadapnya kerana dipercayai terbabit dalam sindiket penipuan Macau Scam.

Dalam 70 serbuan Ops Pelican 3.0 di sekitar Lembah Klang dari 20 hingga 28 Mac lalu itu, 118 individu diperiksa dan 68 ditahan, manakala wang tunai lebih RM770,000 dirampas.

Jho Low pula menjadi buruan sejak beberapa tahun lalu kerana terbabit dalam kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).