KUALA TERENGGANU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan lebih 57,000 pendatang tanpa izin atas pelbagai kesalahan dan mendakwa 1,720 majikan di bawah Akta Imigresen menerusi 9,700 operasi yang dilaksanakan di seluruh negara bermula dari 1 Jan hingga 17 Sept lepas.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM Datuk Lokman Effendi Ramli berkata secara kumulatif, JIM melaksanakan tiga operasi melibatkan warga asing setiap dua jam.
"Saya ingin mengingatkan bahawa pendakwaan bukan hanya tertumpu kepada pendatang tanpa izin, tetapi juga terhadap majikan yang melanggar peraturan dan undang-undang.
"Selain itu, saya juga ingin menasihati orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengesan kehadiran warga asing supaya melapor secara rasmi kepada kami. Jangan ambil tindakan sendiri. Beri maklumat lengkap bagi memudahkan pihak berkuasa menjalankan tugas dengan sewajarnya," katanya selepas Operasi Bersepadu Mega di Rumah Pangsa Sri Kolam, di sini awal pagi tadi.
Berhubung Operasi Bersepadu Mega yang dijalankan di Rumah Pangsa Sri Kolam, Lokman Effendi berkata JIM Terengganu telah menahan sebanyak 19 pendatang tanpa izin dalam operasi berkenaan.
Beliau berkata dalam operasi dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terenggganu itu, sebanyak 133 warga asing diperiksa.
Tangkapan, katanya, melibatkan seorang lelaki warga Bangladesh, Myanmar (14 orang) dan Indonesia (empat orang) yang berumur antara sebulan hingga 50 tahun.
"Difahamkan, tujuh wanita warga Myanmar termasuk ibu kepada bayi berkenaan baru sahaja memasuki negara ini melalui ejen tidak sah untuk bersama dengan suami masing-masing yang ada di sini.
"Antara kesalahan yang dilakukan oleh pendatang tanpa izin yang ditahan ialah menyalahgunakan pas atau permit, tinggal lebih masa dan tiada dokumen sah. Kita juga mengesan sebuah rumah suami isteri warga Myanmar yang dipercayai dijadikan kedai runcit," katanya.
-- BERNAMA