Skip to main content

Malaysia

JKDM catat hasil RM43.62 billion bagi tempoh enam bulan pertama 2026

PUTRAJAYA, 23 Julai -- Ketua Pengarah Kastam Datuk Amran Ahmad bercakap pada sidang media Pencapaian Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Dalam Kutipan Hasil dan Penguatkuasaan bagi Tempoh Januari hingga Jun 2026 di Ibu Pejabat JKDM Putrajaya hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Amran Ahmad ketika sidang media di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mencatat kutipan hasil sebanyak RM43.62 bilion bagi tempoh enam bulan pertama 2026, melebihi sasaran awal RM40 bilion yang ditetapkan.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Amran Ahmad berkata, jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan 22.22 peratus berbanding RM35.69 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, prestasi positif itu membabitkan aspek kutipan hasil dan penguatkuasaan, sekali gus mencerminkan keupayaan JKDM dalam memastikan amanah kutipan hasil negara serta kawal selia perdagangan dilaksanakan secara berkesan.

Beliau berkata, JKDM akan terus memperkukuh pengurusan risiko, audit pematuhan dan operasi bersasar.

“Bagi mengekalkan momentum positif ini, JKDM akan memperkukuh pengurusan risiko, audit pematuhan dan operasi bersasar dengan mengoptimumkan penggunaan analitik data, teknologi serta kaedah pemprofilan yang lebih berkesan,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Amran berkata, tindakan terhadap komoditi berisiko tinggi, penyalahgunaan kemudahan cukai serta ketidakpatuhan akan terus dipertingkatkan bagi mengelakkan berlakunya ketirisan hasil.

Beliau berkata, JKDM turut menyasarkan untuk mencapai kutipan hasil RM80 bilion yang ditetapkan Kementerian Kewangan bagi tahun ini menerusi penambahbaikan strategi dan pendekatan sedia ada.

Dalam aspek penguatkuasaan, JKDM berjaya menggagalkan 3,609 kes melibatkan cubaan penyeludupan serta pengelakan cukai dan duti kastam sepanjang Januari hingga Jun 2026.

Keseluruhan tindakan itu melibatkan rampasan pelbagai jenis barangan bernilai RM1.30 bilion, meningkat 21.5 peratus atau RM230 juta berbanding RM1.07 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurut Amran, rampasan membabitkan dadah merekodkan 220 kes dengan jumlah keseluruhan 2,750.11 kilogram dan 3,399.10 liter bernilai RM366.58 juta.

Sementara itu, rokok mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 1,494 kes melibatkan 1.24 bilion batang bernilai RM329.27 juta termasuk duti dan cukai.

Ia diikuti kenderaan dengan 511 kes membabitkan 2,026 unit bernilai RM191.07 juta, manakala minuman keras merekodkan 417 kes melibatkan 1.79 juta liter dengan nilai rampasan RM81.41 juta.

Bagi kategori sisa dan besi buruk pula, sebanyak 104 kes direkodkan dengan nilai rampasan termasuk duti dan cukai berjumlah RM40.13 juta, manakala kategori komoditi lain mencatat 863 kes bernilai RM295.64 juta.
 

Must Watch Video

Advertisement