TAIPING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak merampas beberapa buah kenderaan serta rokok dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk duti serta cukai berjumlah RM3.65 juta sepanjang Januari lepas.
Pemangku Pengarah Kastam Negeri Perak Suzana Sarif berkata sepasukan anggota dari Cawangan Penguatkuasaan Taiping melakukan serbuan di sebuah lokasi di Shah Alam, Selangor pada 8 Jan dan menemukan sebuah kenderaan Ferrari F8 Spider yang disyaki melanggar syarat di bawah Akta Kastam 1967.
Advertisement
"Nilai rampasan termasuk duti serta cukai dianggarkan sebanyak RM2.21 juta.
"Modus operandi yang digunakan ialah menyalahgunakan kemudahan pengecualian duti yang diberikan di bawah Seksyen 14 Akta Kastam 1967," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Suzana berkata pihaknya turut merampas sebuah kenderaan Honda Civic FD di Serdang, Kedah pada 15 Jan kerana disyaki barang larangan import dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM96,575.
Beliau berkata modus operandi yang digunakan ialah menggunakan nombor pendaftaran Malaysia pada kenderaan klon terbabit bagi mengaburi pihak berkuasa.
Suzana berkata pihaknya turut menahan pemandu kedua-dua kenderaan yang berumur 40-an bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang ditinggalkan di kawasan lapang di Kuala Gula dekat Kuala Kurau menemukan 80,000 batang rokok putih yang diseludup masuk pada 2 Jan.
Suzana berkata nilai rampasan termasuk duti dan cukai dianggarkan sebanyak RM53,760.
Beliau berkata pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu untuk aktiviti penyeludupan dengan nilai rampasan dianggarkan RM27,000.
"Kenderaan MPV mewah digunakan untuk mengaburi mata pihak berkuasa bagi mengedar rokok ke pasaran tempatan, dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.
Suzana berkata pihaknya menyeru orang awam supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.
-- BERNAMA