KANGAR: abatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis merampas dadah jenis kanabis serta beberapa barangan dipercayai tidak berkastam, dianggarkan keseluruhan bernilai RM1,472,954.80 menerusi enam kes antara Mei hingga Julai lepas.
Pengarah Kastam Perlis Mohammad Furiman Hattar berkata rampasan dadah disyaki bunga kanabis dan kanabis seberat 25.123 kilogram (kg) dengan anggaran bernilai RM700,840, manakala 82,960 batang rokok (RM25,714.80) serta 5,840 unit dapur gas (RM238,200) dan 1,016 liter minuman keras (RM508,200).
Beliau berkata lokasi rampasan dadah dan barangan itu melibatkan kawasan Padang Besar, Kuala Perlis dekat sini dan Jitra (Kedah) serta Pelabuhan Klang (Selangor) dengan rampasan itu dibuat pada 21 Mei dan 19 Jun serta 9, 21, 23 serta 29 Julai lepas.
“Rampasan dapur gas tersebut apabila semakan ke atas Borang Kastam No. 1 (K1) mendapati, dagangan tersebut telah diikrarkan menggunakan kod tarif tidak tepat dan tidak selaras dengan jenis barang sebenar yang diimport,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Negeri di sini hari ini.
Mohammad Furiman berkata kesemua kes itu masing-masing disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.
Beliau menyeru orang ramai untuk memberikan kerjasama menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan, dalam usaha memerangi jenayah itu kerana penyeludupan bukan sahaja merugikan negara daripada segi ketirisan hasil, malah turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
-- BERNAMA