JKNS bongkar sindiket jual ubat tidak berdaftar bernilai lebih RM6 juta

Ubat yang dirampas termasuk bahan mengandungi racun berjadual seperti sildenafil, antibiotik, steroid, pil kontraseptif dan antihistamin. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) membongkar kegiatan sindiket penjualan serta pengedaran ubat tidak berdaftar dengan merampas sebanyak 402 jenis ubat bernilai lebih RM6 juta dalam satu operasi di Klang, Selangor pada 23 Okt lepas.
Ringkasan AI
- Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) merampas 402 jenis ubat tidak berdaftar bernilai lebih RM6 juta dalam serbuan ke atas enam premis di Klang pada 23 Oktober, hasil kerjasama dengan CPF dari beberapa negeri.
- Ubat yang dirampas termasuk bahan mengandungi racun berjadual seperti sildenafil, antibiotik, steroid, pil kontraseptif dan antihistamin yang diperoleh dari pembekal tidak sah untuk dijual di pasaran tempatan, melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
- JKNS turut mempergiatkan kempen -Tolak Ubat Tidak Sah- (TOBaTS) dan menasihatkan orang ramai menyemak status pendaftaran ubat melalui laman web NPRA atau menghubungi CPF untuk melaporkan sebarang aktiviti penjualan ubat meragukan.
"Antara ubat yang dirampas ialah ubat mengandungi racun berjadual seperti bahan perangsang seks (sildenafil), antibiotik (tetrasiklina dan amoxicillin), steroid (deksametason), pil kontraseptif (ethinylestradiol/ levonorgestrel) dan antihistamin (chlorpheniramine)," menurut JKNS dalam kenyataan itu.
Penjualan dan pemilikan ubat tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12, Akta Jualan Dadah 1952.
Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan hukuman denda hingga RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, manakala bagi syarikat, denda boleh dikenakan hingga RM50,000.
Tindakan itu sebahagian daripada usaha berterusan CPF JKNS dalam membanteras penjualan dan pengedaran ubat tidak berdaftar dalam pasaran bagi memastikan keselamatan orang awam sentiasa terjamin.
Selain tindakan penguatkuasaan berkenaan, kempen "Tolak Ubat Tidak Sah" (TOBaTS) yang telah dilancarkan pada 2024 bagi memerangi isu pembekalan dan penjualan ubat yang menyalahi undang-undang turut dipergiatkan.
Pada masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya menyemak status pendaftaran ubat dengan merujuk kepada pelekat keselamatan hologram dan nombor pendaftaran (MAL) atau melayari laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di http://www.npra.gov.my atau menghubungi NPRA melalui talian 03-7883 5400.
Selain itu, mereka juga digalakkan menyalurkan aduan berkenaan ubat meragukan melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di pautan http://moh.spab.gov.my atau mana-mana CPF berdekatan atau melalui talian 03-78413200.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


