Skip to main content

Malaysia

JKPK teliti RUU Kebebasan Maklumat 2026 esok - Azalina

PUTRAJAYA, 3 Ogos -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said (tengah) bercakap pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ogos 2026 di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) hari ini._BERNAMA
Azalina (tengah) bercakap pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ogos 2026 di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen akan meneliti Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat 2026 (FOI) esok bagi menghalusi kandungannya sebelum dibentangkan di Parlimen, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata mesyuarat pertama Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) mengenai RUU itu akan dipengerusikannya bagi meneliti terma rujukan sebelum jawatankuasa berkenaan mengemukakan syor serta hasil penelitian yang dijangka dimuktamadkan sebelum persidangan Parlimen akan datang.

“Kami mendapat penyertaan dwipartisan menerusi Jawatankuasa Pilihan Khas, jadi esok akan menjadi mesyuarat pertama dan kami akan meneliti terma rujukannya.

"Kemudian, kami berharap dapat menyelesaikan mesyuarat untuk memuktamadkan syor dan hasil perbincangan sebelum FOI dibentangkan pada persidangan akan datang," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan bersama-sama warga Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) di sini, hari ini.

Azalina berkata penelitian oleh JKPK turut mengambil kira pelbagai pandangan yang dikemukakan pihak berkepentingan, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan profesional.

"Saya rasa terdapat banyak perkara dibangkitkan, terutamanya tentang kandungan rang undang-undang ini. Jika kita meneliti komen yang dibuat oleh NGO dan pihak berkepentingan, mereka menyatakan bahawa FOI mempunyai skop yang lebih luas. Jadi, kita akan menilai perkara itu esok," katanya.

Pada 13 Julai lepas, Azalina berkata kerajaan akan mengemukakan usul untuk merujuk RUU FOI 2026 kepada JKPK bagi membolehkan penelitian lebih menyeluruh terhadap RUU berkenaan menerusi libat urus bersama dengan Ahli Parlimen dan pihak berkepentingan.

RUU Kebebasan Maklumat 2026 bertujuan menyediakan mekanisme tatacara bagi mengawal selia permintaan akses kepada maklumat dalam kawalan pihak berkuasa awam, yang turut memperuntukkan bahawa mana-mana warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas layak membuat permohonan bertulis bagi mendapat akses kepada maklumat rasmi berkenaan.

Menurut naskhah biru yang disiarkan melalui portal rasmi Parlimen, mekanisme itu bagaimanapun mengekalkan keutamaan undang-undang kerahsiaan sedia ada, dengan mengecualikan maklumat di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88] serta dokumen lain yang pendedahannya dilarang atau dilindungi di bawah mana-mana undang-undang bertulis.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement