KUALA LUMPUR:Kementerian Kerja Raya (JKR) menyasarkan sebanyak 80 peratus pemerkasaan adaptasi Model Bangunan Bermaklumat (BIM) mampu dicapai dalam setiap pelaksanaan projek menerusi Pelan Strategik Jabatan Kerja Raya (JKR) 2021-2025.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelan itu merupakan perancangan strategik JKR bagi tempoh lima tahun yang merangkumi hala tuju, bidang fokus dan pelan tindakan menyeluruh serta komprehensif ke arah meningkatkan kualiti, profesionalisme, memacu produktiviti, memupuk amalan lestari serta pengantarabangsaan.

Katanya, pelan itu turut dirangka lebih mantap, menyeluruh dan komprehensif melalui penambahbaikan daripada aspek kecemerlangan pengurusan projek kepada kecemerlangan pengurusan aset menyeluruh (PAM).

"Pendekatan ini dapat mengoptimumkan penggunaan dan memanjangkan jangka hayat aset, menjimatkan perbelanjaan kerajaan, meningkatkan imej kerajaan dan seterusnya membantu menjana pertumbuhan ekonomi negara.

"Bagi tempoh lima tahun akan datang, pemerkasaan adaptasi BIM dalam pelaksanaan projek akan difokus melalui sasaran 50 peratus projek bernilai RM10 juta ke atas dilaksanakan secara BIM dan peningkatan sebanyak 10 peratus pada setiap tahun berikutnya sehingga tahun 2025," katanya dalam sidang media selepas melancarkan pelan itu di sini pada Selasa.

Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith dan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir. Mohamad Zulkefly Sulaiman.

Dalam pada itu, Fadillah berkata,  JKR juga menyasarkan 100 peratus projek bernilai RM10 juta ke atas memperoleh skor Sistem Bangunan Berindustri (IBS) melebihi 70 peratus.

Menurutnya, selain itu, pemerkasaan adaptasi Pre Approved Plan (PAP) bagi projek bangunan turut diberi penekanan melalui sasaran enam peratus projek bangunan mengguna pakai reka bentuk PAP setiap tahun dan peningkatan sebanyak 30 peratus dalam tempoh lima tahun.

"Sehubungan itu, JKR berhasrat menjadi peneraju pembangunan lestari dengan memacu pembangunan infrastruktur jalan dan bangunan yang seimbang daripada aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar bagi mencapai matlamat pembangunan lestari.

"Bagi mencapai sasaran itu, JKR juga menyasar pengurangan pelepasan karbon bagi projek bangunan yang melaksanakan penarafan hijau (pHJKR) serta bangunan yang dihuni dan dikawal selia JKR.

"JKR juga menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) dalam projek infrastruktur jalan dan bangunan melalui sasaran yang ditetapkan dalam pelan strategik itu," jelasnya.