NATIONAL
Johan Tilawah Kebangsaan mampu ulangi kejayaan Malaysia di peringkat antarabangsa - Ahmad Zahid

Qari Perak, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan, dan qariah Terengganu, Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi, telah menjuarai Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1446H/2025M di Kangar, Perlis.
KUALA LUMPUR: Qari Perak Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dan qariah Terengganu Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi yang menjuarai Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1446H/2025M diyakini mampu mengulangi kejayaan Malaysia di pentas antarabangsa.
Ringkasan AI
- Qari Perak, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan, dan qariah Terengganu, Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi, telah menjuarai Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1446H/2025M di Kangar, Perlis.
- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yakin bahawa dengan bimbingan, doa, dan usaha berterusan, kedua-dua pemenang ini mampu mengulangi kejayaan Malaysia di peringkat antarabangsa dalam bidang tilawah dan hafazan.
- Kedua-dua pemenang menerima hadiah wang tunai, piala, cenderamata, sijil penyertaan, satu dinar emas, dan telefon pintar. Ahmad Zahid juga berharap kejayaan mereka akan mendorong lebih ramai anak muda Malaysia untuk mendalami dan mencintai al-Quran sebagai panduan hidup.
"Malaysia pernah melakar kejayaan membanggakan di pentas antarabangsa dalam bidang tilawah dan hafazan, insya-Allah kita mampu mengulangi pencapaian tersebut," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Aiman Ridhwan dan Wan Sofea Aini muncul johan tilawah al-Quran pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTQHK) Tahun 1446H/2025M yang melabuhkan tirai di Kangar, Perlis semalam.
Mereka masing-masing membawa pulang wang tunai RM20,000 dan tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji berserta piala, cenderamata dan sijil penyertaan, selain menerima satu dinar emas Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) Gold dan telefon pintar.
Ahmad Zahid menerusi hantaran sama turut mengucapkan tahniah kepada Aiman Ridhwan dan Wan Sofea Aini serta berharap kejayaan itu menjadi pendorong kepada lebih ramai anak muda Malaysia untuk mendalami dan mencintai al-Quran, bukan sahaja sebagai bacaan tetapi juga sebagai panduan hidup.
"Marilah bersama-sama kita membina sebuah generasi yang berjiwa al-Quran, berakhlak mulia dan menjadi rahmat kepada negara serta umat," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami