JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor pada Rabu membentuk sebuah Jawatankuasa Penyelarasan Tindakan Pembanterasan Ajaran Sesat SiHulk bagi membendung penyebaran ajaran tersebut di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata jawatankuasa itu terdiri daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

"Jawatankuasa ini sudah membuat ketetapan untuk bekerjasama dalam membanteras penyebaran ajaran SiHulk, sama ada secara fizikal mahupun melalui media sosial.

"Kerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia juga akan dimulakan bagi maksud tindakan yang lebih teratur," kata Mohd Fared menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.

Beliau turut menyeru orang ramai untuk menolak ajaran itu dengan tidak menyebarkan video memaparkan beberapa individu yang mengaku sebagai pengikut ajaran sesat Suhaini Muhammad atau SiHulk itu.

Khamis lepas, Mohd Fared dilapor berkata di Johor, ajaran itu telah difatwakan sesat sejak 22 Julai 2021 kerana didapati menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariat serta akhlak Islam, sekali gus semua aktiviti berkaitan dengannya termasuk perniagaan dan perkhidmatan adalah dilarang dan difatwakan haram.

-- BERNAMA