Skip to main content

Malaysia

Johor berjaya tarik potensi pelaburan bernilai lebih RM5 bilion di Singapura

JOHOR BAHRU, 9 Mac -- Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika sesi temu bual bersama Bernama yang diketuai oleh Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj di Saujana Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, semalam.  Johor menyasarkan untuk meningkatkan lagi momentum pertumbuhan pelaburan kepada RM140 bilion pada tahun ini, selepas mencatat jumlah pelaburan diluluskan tertinggi negara tahun lepas sebanyak RM110 bilion tahun lepas.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Onn Hafiz berkata pencapaian itu sekali gus memperkukuh keyakinan pelabur terhadap Johor sebagai destinasi pelaburan dan hab pertumbuhan baharu di rantau ini. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

JOHOR BAHRU: Johor berjaya menarik potensi pelaburan bernilai lebih RM5 bilion hasil siri pertemuan dengan pelabur sepanjang lawatan kerja tiga hari ke Singapura yang berakhir hari ini.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pencapaian itu sekali gus memperkukuh keyakinan pelabur terhadap Johor sebagai destinasi pelaburan dan hab pertumbuhan baharu di rantau ini.

Beliau berkata potensi pelaburan itu melibatkan beberapa sektor strategik dan berteknologi tinggi, antaranya teknologi optik berkelajuan tinggi, kesihatan serta peralatan pembuatan semikonduktor, yang bukan sahaja membawa pelaburan bahkan teknologi, kepakaran dan peluang pekerjaan baharu.

"Antara perkara diberi perhatian pelabur ialah ketersediaan bakat dan tenaga kerja berkemahiran tinggi. (Oleh itu), bukan infrastruktur dan kemudahan saja yang penting, tetapi keyakinan bahawa kita mempunyai tenaga kerja yang mampu memenuhi keperluan industri mereka," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Onn Hafiz berkata sehubungan itu, pembangunan bakat menerusi Johor Talent Development Council (JTDC) terus menjadi keutamaan bagi memastikan tenaga kerja tempatan mempunyai kemahiran yang selari dengan keperluan industri. 

"Kita mahu latihan dan pembangunan kemahiran dibuat berdasarkan keperluan sebenar industri supaya apabila pelaburan masuk, anak-anak Johor sudah bersedia untuk mengisi pekerjaan yang diwujudkan.

"Pada masa sama, Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J) akan terus membantu memudah cara dan mempercepatkan urusan pelaburan," katanya.

Beliau juga berharap agar segala potensi pelaburan yang diterokai itu dapat direalisasi sekali gus membuka lebih banyak pekerjaan berkualiti dan peluang lebih luas kepada rakyat negeri berkenaan.

"Insya-Allah, kita akan terus memastikan setiap pelaburan yang masuk membawa manfaat kepada negeri dan Bangsa Johor," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement